Cara Mengawal Anak Mengamuk

Kanak-kanak berusia dua tahun ke atas ada kalanya mula menunjukkan sikap negatif suka memberontak, membaling barang, merajuk dan mengamuk tanpa sebab yang kita ketahui. Jika dalam bahasa psikologi, kategori kanak-kanak sedemikian dikenali sebagai Tantrum, yakni bermaksud kemarahan secara tiba-tiba. 

Jika anak anda pernah berkelakuan begitu, bukan bermaksud dia menjadi degil atau kurang ajar. Tetapi anak kecil anda sedang belajar untuk ekspresi diri dan emosinya. Memandangkan mereka masih kurang tatabahasa dan kemahiran lisan, maka cara mudah untuk mereka memberitahu sesuatu adalah dengan menangis dan mengamuk, yang juga dikenanali sebagai Temper Tantrum; -suatu luapan emosi yang meledak-ledak sehingga tiada kawalan diri.

Mengatasi anak mengamuk bukan perkara mudah. Tindakan serta cara kita mengendalikan anak sangat penting dalam perkembangan EQ aanak.

Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan jika anak mengamuk. Antaranya:

  • Bertenang. 
Ingat! Jangan sekali-kali marah dan menjerit atau memukul anak dengan tujuan untuk mendisiplinkannya. Ia hanya akan menjadikan dia, anak yang pengecut ataupun semakin suka memberontak.

  • Cuba memujuk. 
Usaha dahulu memujuk dengan cara yang baik. Peluk anak anda dari belakang atau dukung dengan lembut dan mesra. Itu petanda anda sedia untuk bekerjasama dan mendengar segala masalah yang sedang anak hadapi

  • Alihkan perhatiannya.
Jika anda sudah nampak tanda-tanda yang dia mahukan sesuatu dan anda tidak dapat memenuhi hajatnya itu dan akan mencetuskan kemarahannya, cepat-cepat alihkan perhatiannya.

  • Beri pilihan.
Jika anak mula mengamuk, berikan dia pilihan, samada dia mahu bersikap baik dan tidak dimarahi anda. Katakan kepadanya jika dia bersikap baik, anda akan menjanjikan sesuatu seperti menonton televisyen atau membaca bersama.

  • Biarkan. 
Jika pujukan tidak menjadi dan anak anda terus menghentakkan kaki atau berguling di atas lantai, biarkan dia. Namun pastikan keadaan sekelilingnya selamat dari barang-barang yang membahayakan.

  • Nasihat. 
Anak yang mengamuk tidak akan mengamuk sepanjang hari. Dia pasti penat juga akhirnya. Pada waktu begini, anda belailah dia dan katakan kepadanya bahawa apa yang dia lakukan sebentar tadi adalah salah dan dia akan lebih disayangi jika dia bersikap baik dan mendengar kata.

  • Bersifat tegas.
Sesekali bertegas dengan anak. Jika dia mengamuk, katakan bahawa anda tidak akan lagi membawanya bermain di taman. Biar dia belajar bagaimana perasaan marah dan kecewa. Terangkan dengan jelas mengapa tindakan itu anda ambil.

Bolehkah anak kecil memahami apa yang dikatakan oleh kita?

Sudah tentu! Walaupun mereka kecil, mereka tahu ketika mana ibu bapanya marah, sayang, gembira, benci mahupun kecewa. Selalulah berkomunikasi dengan anak dan berbual dengan mereka tentang apa yang mereka dan anda suka. Nasihat yang berpanjangan akan mengurangkan temper tantrumnya.

Sumber : majalahpesonawanita

Annur: Bagaimanapun pendekatan agama jangan tinggal. Lembutkan hati anak dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa di ubun anak ketika mereka sedang tidur. 

Catat Ulasan

0 Ulasan