Risiko Masalah Kelahiran Bayi Pramatang

Melihat anak ditempatkan di dalam balang khas berkaca (inkubator) dengan wayar berselirat di sekeliling badan menjadikan perasaan seorang ibu yang melahirkannya resah sepanjang masa. Masakan tidak, impian untuk melihat anak yang dikandung lahir normal dan sihat seperti bayi-bayi lain pastinya musnah apabila kandungan yang dijaga tidak sempat mencecah usia 40 minggu.

awasi bayi pramatang

Jika dilihat pada statistik yang dikeluarkan pada 3 Mei 2012, kira-kira 15 juta bayi pramatang dilahirkan setiap tahun. Angka tersebut melebihi satu daripada 10 kelahiran di seluruh dunia. [HarianMetro]

Menurut anggaran dari negara ke negara mengenai fenomena itu, sebanyak 1.1 juta bayi pramatang dilahirkan tidak dapat diselamatkan. Jika hidup sekali pun, mereka berdepan dengan masalah ketidakupayaan dalam jangka panjang.

Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan pada tarikh yang sama, kebanyakan bayi pramatang dilahirkan di Afrika dan Asia. Begitupun, di Malaysia, suku daripada jumlah kelahiran pramatang yang terjadi sehingga kini tidak dapat dikesan punca dan sebabnya.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Pusat Perubatan Sime Darby ParkCity Sdn. Bhd., Dr. Salehuddin Samsudin, kelahiran pramatang itu bermaksud bayi yang dilahirkan bawah 37 minggu.

Biasanya wanita akan hamil sehingga tempoh penuh iaitu 40 minggu. Sekiranya kelahiran berlaku tiga minggu awal daripada 40 minggu ia dianggap sebagai pramatang.

"Dalam kes kelahiran pramatang ini, bayi yang lahir akan mempunyai saiz badan yang kecil, lemah, berat badan hanya dalam lingkungan 450 hingga 1,600 gram sahaja serta panjang sekitar 25 hingga 33 sentimeter.

"Bukan itu sahaja, tumbesaran bayi pramatang ini juga sebenarnya masih belum sempurna dan disebabkan itulah mereka (bayi pramatang) akan dilahirkan dengan paru-paru yang belum berfungsi dan berkembang dengan sepenuhnya.

"Boleh dikatakan segala-galanya belum cukup sempurna apabila bayi ini lahir sebelum tempoh 40 minggu," ujarnya ketika ditemui di kliniknya di Desa ParkCity, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Oleh yang demikian, Dr. Salehuddin memberitahu, lazimnya bayi yang dilahirkan pramatang harus diberikan penuh perhatian dan penjagaan yang rapi kerana selain kulitnya yang seperti agar-agar, mereka ini juga mudah dijangkiti kuman dan boleh diibaratkan seperti 'barang yang mudah pecah'.

Katanya lagi, disebabkan kulitnya yang lembut seperti agar-agar ada kalanya boleh tertanggal.

Selain itu, bayi pramatang ini juga akan mengalami pelbagai komplikasi dan antaranya ialah masalah paru-paru, jangkitan penyakit serta masalah penglihatan.

Disebabkan itu jugalah, bayi pramatang akan ditempatkan dalam inkubator sehingga berat mereka mencecah 1.5 kilogram dan mampu mengawal suhu badan mereka sendiri tanpa sebarang bantuan.

"Boleh dikatakan bayi pramatang akan mengalami pelbagai masalah kesihatan disebabkan perkembangan yang terbantut.

"Selain perkembangan otak, fizikal, paru-paru, jantung dan sebagainya dilihat terhenti, bayi pramatang juga berisiko tinggi menghadapi masalah penglihatan.

"Masalah penglihatan yang sering terjadi pada bayi pramatang ialah Retinopati Pramatang (ROP) dan lazimnya berlaku pada bayi yang mempunyai berat badan kurang daripada 1,500 gram.

"Masalah ini mengganggu perkembangan saluran darah pada retina dalam mata yang akhirnya menjadikan mangsa buta sekiranya tidak mendapat rawatan awal," tambahnya.

Walaupun tidak mempunyai statistik lengkap mengenai kelahiran pramatang di Malaysia tetapi Dr. Salehuddin menjelaskan kelahiran bayi pramatang yang paling banyak yang berlaku di negara ini adalah dalam lingkungan 35 hingga 37 minggu.

Dr. Salehuddin juga menyatakan bahawa bayi pramatang ini juga boleh dikategorikan mengikut kumpulan di mana bayi yang lahir dalam 28 minggu dan ke bawah mereka dikenali sebagai pramatang ekstrem.

Untuk kes ini, bayi dilihat berpeluang untuk hidup tetapi sekiranya bayi lahir di bawah 24 minggu peluang untuk hidup amat tipis.

Dr. Salehuddin turut memberitahu bahawa kelahiran pramatang tidak bersangkutan dengan keturunan tetapi ibu-ibu hamil dinasihatkan agar mendapatkan maklumat lengkap mengenai kelahiran pramatang ini di mana-mana hospital yang berdekatan.

Ini adalah sebagai langkah persediaan di samping mengetahui apa yang perlu dilakukan sekiranya perkara tersebut berlaku dalam kehidupan mereka.

Catat Ulasan

0 Ulasan