Pencerahan: Kaitan sawan tarik dengan sirap Paracetamol

February 02, 2017


Kecoh 1-2 hari ni tentang dakwaan sebuah fan page di facebook bahawa menurunkan suhu badan dengan cepat adalah penyebab sawan. Saya tidak pasti kajian mana yang dipetik, atau mungkin sekadar ulasan peribadi.
statement tak berasaskan fakta abu hannah


Peribadi atau tidak, apabila ulasannya adalah auta dan merbahaya, dan disuruh pula agar tidak mengambil paracetamol untuk turunkan suhu badan yang tinggi, ini perlu dijawab segera kerana jika ada komplikasi, sudah tentu si dia tidak akan bertanggungjawab.
.
Sawan Demam.

Sawan demam (febrile fit) ialah sawan paling biasa di kalangan kanak-kanak, dan berlaku pada usia kurang daripada 6 tahun. Kes biasanya berlaku bermula usia 1-6 bulan dan maksimum usia sebelum mencecah 6 tahun.

Sawan demam ialah sawan yang berkait dengan suhu dan 38°C atau lebih tinggi tanpa sebarang bukti penyebab yang spesifik contohnya jangkitan selaput otak. Ringkasnya, ia adalah "diagnosis of exclusion".

Ciri-ciri sawan demam ialah :

1. Berlaku pada julat usia tertentu sahaja
2. Majoriti pesakit tidak menunjukkan sebarang abnormaliti dalam aspek neurologi atau perkembangan kendiri selepas episod sawan.
3. Sawan demam tiada kaitan dengan sebarang abnormalit pada saraf atau otak.

Secara ringkasnya, siasatan pada fungsi saraf dan otak adalah normal.

Jenis Sawan.
Ia terbahagi kepada dua jenis, iaitu :

1. Simple : 
• sawan berlaku di seluruh anggota badan (generalized
• kurang daripada 15 minit
• hanya sekali sahaja dalam tempoh 24 jam (no recurrence)

2. Complex :
• fokal atau berlaku pada anggoya tertentu sahaja
• lebih daripada 15 minit
• berulang dalam tempoh 24 jam
• berkait dengan abnormaliti sistem neurologi (neurological abmormality) selepas sawan berakhir (post-ictally)

Faktor Risiko.

1. Usia
2% - 5% kanak-kanak berusia 6 bulan - 5 tahun mengalami sawan demam. Majoriti kes berlaku pada usia 18 bulan (1 tahun 6 bulan). Ia jarang berlaku selepas kanak-kanak mencapai usia 3 tahun.

2. Jantina
Kanak-kanak lelaki mempunyai risiko sehingga 2 kali ganda daripada kanak-kanak perempuan.

3. Genetik
• 20.7% kes mempunyai sejarah adik-beradik dengan sawan demam (berbanding 8.4% kumpulan kawalan)
• 10.9% kes mempunyai sejarah ibubapa dengan sawan demam (berbanding 1.6% kumpulan kawalan)
• 14.1% kes mempunyai sejarah saudara terdekat (1st degree relative) dengan sawan demam (berbanding 3.8% kumpulan kawalan)
• 5 kawasan genomik pada kromosom dikaitkan dengan sawan demam

Risiko Berulang.

33% kes sawan demam yang pertama kali berlaku mempunyai risiko untuk mendapat sawan demam pada masa akan datang. Maka, sekiranya anak anda pernah ada sawan demam, anda perlu tahu bahawa ia mungkin terjadi semula pada masa akan datang.

Faktor risiko sawan demam berulang ialah :

1. Sejarah keluarga dengan sawan demam

2. Sawan demam pertama berlaku pada usia kurang daripada 18 bulan.

3. Suhu tertinggi ketika sawan demam berlaku. 
Kanak-kanak yang mendapat sawan demam pada suhu 39°C mempunyai risiko berulang yang lebih rendah berbanding kanak-kanak yang mendapat sawan demam pada suhu 38°C.

4. Tempoh demam sebelum mendapat sawan demam.
Kanak-kanak yang mendapat sawan demam dalam tempoh 4jam demam mempunyai risiko berulang yang lebih rendah berbanding kanak-kanak yang mendapat sawan demam dalam tempoh 1 jam demam.

Risiko Epilepsi.

2% - 10% kes sawan demam berisiko untuk mendapat epilepsi. Kajian menunjukkan sejarah keluarga dengan epilepsi dan sawan demam kompleks meningkatkan risiko untuk mendapat epilepsi pada masa depan.

Mekanisma.

Ok, ini bahagian yang penting yang ditemui melalui kajian berbanding pendapat peribadi yang membahayakan oleh si polan.

Terdapat 3 mekanisma yang dikemukan hasil daripada kajian, iaitu :

1. Peningkatan suhu pada otak mengubah beberapa fungsi neuron, termasuk ion-channel yang sensitif kepada suhu. Akibat peningkayan suhu, banyak aktiviti neuron yang terjana, menyebabkan sawan.

2. Demam dan hipertermia beekongsi mekanisma yang sama dengan mekanisma sawan, iaitu IL-1β menyebabkan demam, dan demam merangsang sistesis (pembuatan) unsur ini di hippocampus. IL-1β ini telah dibuktikan meningkatkan fungsi neuron (neuronal excitability) yang boleh menyebabkan sawan.

3. Hiperventilasi dan alkalosis yang dijana oleh peningkatan suhu tubuh dikemukakan sebagai elemen yang boleh menyebabkan sawan. Namun, bukan semua kondisi lain yang menjana alkalosis akan menyebabkan sawan.

Mari lihat semula. Semua mekanisma ini menunjukkan peningkatan suhu yang mungkin merangsang terjadinya sawan, dan bukannya penurunan suhu yang cepat.

Apa doktor buat?

Sekiranya kanak-kanak sedang sawan, kami akan menghentikan sawan tersebut melalui protokol khusus, dan biasanya sawan berjaya dihentikan.

Selepas sawan berhenti, sekiranya demam atau suhu tinggi, ubat demam akan diberi untuk turunkan suhu kerana jika suhu kekal tinggi, risiko untuk sawan kembali adalah tinggi.

Semua kes yang pertama kali sawan demam akan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian sekurang-kurangnya 24 jam. Jika semuanya ok, insyaallah boleh discaj selepas tempoh tersebut.

Staf atau doktor akan menerangkan apa yang perlu dibuat sekiranya sawan demam berlaku semula pada masa depan.

Ok, sebelum berpindah kepada senario lain, saya nak bagitau bahawa sawan demam berlaku akibat daripada demam. Dan demam itu pula berpunca daripada jangkitan selain daripada saraf atau otak, contohnya jangkita tekak, jangkitan tonsil, dan jangkitan telinga. Maka, selain daripada menguruskan sawan, doktor juga akan merawat punca demam tersebut.

Namun, ada juga kes yang berlaku sawan beberapa kali di kecemasan mahupun di wad setiap kali suhu tinggi. Dan kadang2 dengan suhu yang sudah dikawal pun dapat sawan juga.

Dalam kes sebegini, kami mungkin akan mengesyaki jangkitan pada selaput otak (meningitis) dan prosedur tambahan akan dilakukan contohnya ambil cecair tulang belakang dan imbasan CT pada kepala.

Untuk mengambil cecair tulang belakang bukan ikut suka hati kami. Tentu sekali ada indikasi dan di sini pun ada dilema dan mitos yang sering merayau-rayau di media sosial. Ini topik lain.

Sebagai nasihat, apabila doktor cadangkan ujian tersebut, ini bermakna doktor mungkin mengesyaki jangkitan pada selaput otak. Jika lambat buat keputusan, anak mungkin lumpuh atau mati. Biasanya bukan prosedur tersebut menyebabkan lumpuh, tetapi komplikasi daripada patologi jangkitan yang menyebabkannya.

No comments:

Anything personal, do whisper me at annursyuhadah@gmail.com <(=^.^=)y

Full design templates by Eiyza Ezatul. Powered by Blogger.