Kenapa jiwa kita selalu je tak tenang?

Assalamualaikum semua. Bersempena yaumul juma'ah sayyidulayyam hari ini 23 Jun 2023 suka Mamy Syu nak bawa kalian semua berfikir dan berfikir, kerana dengan berfikir, dan bermuhasabah sahaja kita dapat membuka fikiran kita dan semoga kita dijauhi dari sifat dan ciri-ciri orang yang malas berfikir.

Pernah tak kalian terfikir, mengapa kalian tiba-tiba merasa serba salah? 

Terasa walau macam mana kalian buat sekali pun, kalian tetap tak dapat mengecapi rasa tenang dan kebahagiaan dalam hidup. Selalu sahaja dirundung perasaan tak tenteram dan gelisah walaupun bukan dalam keadaan bermasalah?

Kalau jawapan nya "ya", maka ketahuilah bahawa itu semua kesan dari dosa dari sifat-sifat mazmumah yang telah lama bersarang dalam jiwa kita. Jom ikuti shortnote Kuliah Ihdaa' (Tenang-tenanglah) oleh Ustazah Shuliyana Binti Yahya, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai, JPN Perak.

Dalam sebuah hadis , Nabi SAW bersabda:
 الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ 

Maksudnya: Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu. Riwayat Ahmad (18006) 

Jelas Ustazah, orang yang berbuat baik akan selalu tenang; sedangkan orang yang berdosa selalu dirundung oleh rasa curiga terhadap semua peristiwa, semua aktiviti dan sikap yang terjadi. Hatinya penuh dengan sangka buruk dan meneka-neka dalam segenap hal. Maka dari itu, mereka amat payah untuk mencapai kebahagiaan dan ketenangan hati.

Allah mencabut nikmat bahagia dan ketenangan hatinya dek kerana dosa yang dilakukan, maka kata Ustazah kita hendaklah selalu berdoa dan lafazkan redha pada setiap yang berlaku, dan mohon semoga dengan ujian dan kesusahan yang kita hadapi hari ini, menjadi asbab Allah ampunkan dosa-dosa kita. 

5 Cara Nak Didik Hati Untuk Tenang Menurut Islam


1) Sangka baik pada Allah
2) Banyakkan istighfar
3) Banyakkan mengaji al-Quran
4) Jaga & upgrade solat
5) Fokus penyelesaian bukan masalah

Selain berusaha mengamalkan amalan untuk ketenangan hati, ada beberapa sifat dan ciri-ciri orang yang susah untuk capai ketenangan jiwa. Jadi, siapa di sini nak tahu apakah sifat-sifat mazmumah yang bertanggungjawab menghilangkan rasa tenang dan bahagia dari jiwa? 

Jom teruskan membaca!

Surah Nuh Ayat 10-12, Latin, dan Ertinya


فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا ١٠
Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.
 
يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا ١١
(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
 
وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍۢ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّـٰتٍۢ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَـٰرًۭا ١٢
"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Bacaan rumi: fa qultustagfirụ rabbakum innahụ kāna gaffārā. yursilis-samā`a 'alaikum midrārā. wa yumdidkum bi`amwāliw wa banīna wa yaj'al lakum jannātiw wa yaj'al lakum an-hārā

Sifat-sifat Mazmumah Yang Menghilangkan Tenang dalam Jiwa

Kenapa jiwa kita selalu je tak tenang
Kenapa jiwa kita selalu je tak tenang?



Pemarah.

Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati sentiasa tidak tenang.

Tak sabar.

Andainya perkara yang kecil pun kita mudah marah dan tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. Oleh itu banyakkanlah bersabar bila menghadapi dugaan. Setiap kali hendak melantunkan amarah, cuba tenangkan diri segera dengan istighfar. 

Menurut Ustazah lagi, untuk melatih hati menjadi manusia yang tenang dan sabra, hendaklah perbanyakkan zikir. Antara zikir yang sempat Mamy  salin dari kuliah Ustazah sebentar tadi adalah amalan sayyidul istughfar pagi dan petang. Siapa yang istiqomah baca Al-mathurat, pasti familiar dengan zikir sayyidul istighfar ini:

zikir sayyidul istighfar kenapa-jiwa-kita-selalu-je-tak-tenang

Zikir Sayyidul Istighfar untuk Ketenangan Jiwa

 
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ ، لَا إِلٰـهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمتِكَ عَلَيَّ ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ ، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ


Bacaan Sayyidul Istighfar Rumi : Allahumma anta robbii laa ilaaha illaa anta, kholaqtanii wa anaa ‘abduka wa anaa ‘alaa ‘ahdika wa wa’dika mastatho’tu. A’udzu bika min syarri maa shona’tu, abuu-u laka bini’matika ‘alayya, wa abuu-u bi dzanbii, faghfirlii fainnahuu laa yaghfirudz dzunuuba illa anta.

Erti Terjemahan Zikir Sayyidul Istighfar

Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, Tidak ada sesembahan yang haq kecuali Engkau, Engkau yang menciptakanku, sedang aku adalah hamba-Mu dan aku diatas ikatan janji -Mu dan akan menjalankannya dengan semampuku, aku berlindung kepadamu dari segala kejahatan yang telah aku perbuat, aku mengakui-Mu atas nikmat-Mu terhadap diriku dan aku mengakui dosaku pada-Mu, maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang mengampuni segala dosa kecuali Engkau” (HR. Bukhari no. 6306)


Pendendam.

Tersembunyi ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta yang kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

Ego (mementingkan diri)

Sifat ego merupakan sifat manusia toksik yang boleh menyakiti manusia lain secara dalaman mahupun luaran. Ego merupakan ibu segala mazmummah ini membuatkan seseorang sentiasa tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang dicabar dari sudut zahir mahupun batin.

Hasad dengki.

Amalanya hangus akibat hasad dengkinya kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

Bakhil.

Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan dia tiada duit. Rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama dengan menderma. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, sifat pemurahnya tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui maknusia.

Tamak.

Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yang diminum tetap tak habis juga. Lagipun orang tamak selalu rugi. 

Ingat, yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita (mungkin ada hak orang lain di situ). Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu apabila dimanfaatkan.

Riak/ujub.

Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon di depan orang. Jika dipuji dia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji dia akan mengurangkan amalnya.


Cinta dunia.

Tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berharta tidak tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. Apabila mati, manusia cuma membawa amalan dan doa anak yang soleh/solehah. 

Cinta dunia merupakan “neraka dunia” kerana dunia itu “panas” kerana sentiasa menjadi buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Dengan sebab itulah, doa yang kita dambakan kedua-dua kebahagiaan dunia dan akhirat menjadi kehendak dan tuntutan kita. 

Benarlah firman Allah SWT:


 وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ 

Maksudnya: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". Surah al-Baqarah (201) 

Semoga Allah SWT menaungi kita dengan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat serta disisihkan daripada kecelakaan dalam hidup. Amin. Wallahu a'lam dan selamat berhujung minggu semua!



Sumber:
1) Telegram https://telegram.me/DrZaharuddinGroup
2) Kuliah Jumaat Bertajuk Ihdaa' (Ustazah Shuliyana Bt Yahya)

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Tanpa Nama20:08

    Banyakkan istigfar supaya pertama;diampunkan dosa..bila kerak2 hati dan dosa sudah dicuci maka insyaallah timbul ketenangan.Tenang itu kurniaan Allah bukan sandaran pada harta benda setinggi gunung.
    Istigfar dengan hati hidup.Rasa berdosa,rasa malu,rasa kesal,rasa kecil,rasa takut.Bukan sekadar sebutan sahaja

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah. Sama-sama lah kita cuba amalkan dan istiqomah jadikan istighfar sebagai terapi hati

      Padam

Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y