Jangan Terjerat Dengan Janji dan Tuntutan Iklan Produk Pelangsing

Terdapat segelintir masyarakat kita begitu obses untuk memiliki bentuk badan yang langsing. Kini wujudnya lambakan iklan dan promosi produk pelangsing badan yang dijual melalui Internet oleh penjual yang tidak bertanggungjawab. 

AWAS PRODUK PELANGSING BADAN! JANGAN TERJERAT
AWAS PRODUK PELANGSING BADAN! JANGAN TERJERAT

Netizen sering terkeliru dengan taktik pengiklanan oleh penjual yang membuat kenyataan seperti “tidak perlu bersenam”, “boleh makan apa sahaja”, “tidak perlu berdiet”, “turun tiga kilogram dalam masa satu minggu” atau “hanya sapu tanpa perlu berdiet”. Orang awam dinasihati agar tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis pengiklan yang memberi jaminan penurunan berat badan dalam tempoh yang singkat kerana proses penurunan berat badan mengambil masa dan tidak berlaku sekelip mata. 

Apabila sesuatu produk farmaseutikal berdaftar hendak diiklankan, ia perlu mendapatkan kelulusan iklan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini bagi memastikan fakta atau tuntutan perubatan yang digunakan dalam iklan tersebut diakui sahih, benar dan bukannya direka-reka demi melariskan sesuatu ubat. Iklan yang telah mempunyai kelulusan LIU akan diberi nombor KKLIU yang seharus dipaparkan pada iklan yang disiarkan (contoh: KKLIU 1234/2019). 

Menurut ‘Garis Panduan Pengiklanan Ubat Dan Produk Perubatan Kepada Orang Awam’ yang boleh diakses melalui portal https://www.pharmacy.gov.my, pernyataan ‘Produk ini hendaklah diambil bersama-sama diet seimbang dan senaman berterusan’ perlu dipaparkan bagi iklan yang melibatkan produk untuk menurunkan berat badan. Maka, jika pernyataan ini tidak dipaparkan pada iklan yang membuat tuntutan menurunkan berat badan, berkemungkinan iklan tersebut tiada kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat.

Ubat pelangsing yang dikategorikan sebagai ubat tradisional pula setakat ini masih tidak mempunyai bukti yang kukuh mampu menurunkan berat badan secara drastik. Justeru, jangan mudah terpedaya dengan iklan yang menjanjikan kesan yang tidak munasabah. Berikut merupakan panduan semasa membeli produk pelangsing badan:

• Semak status pendaftaran produk (MAL) melalui portal https://www.npra.gov.my atau muat turun aplikasi NPRA Product Status daripada “Android Play Store”. 
• Produk makanan dan produk kosmetik dilarang membuat akuan perubatan termasuklah untuk menguruskan berat badan. 
• Peka terhadap senarai produk yang dicemari racun berjadual melalui kenyataan akhbar dari semasa ke semasa melalui https://kpkesihatan.com.
• Bagi iklan yang mempunyai tuntutan perubatan, pastikan iklan tersebut mempunyai nombor KKLIU.
• Semak kelulusan iklan melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/apps/iklan
• Tidak mudah percaya dengan testimoni “sebelum” dan “selepas” yang ditemui di Internet kerana kini terdapat banyak aplikasi ‘filtering’ yang boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Langkah terbaik untuk mengekalkan berat badan yang ideal adalah dengan mengamalkan diet yang seimbang dan senaman yang konsisten. Jangan terlalu mudah percaya dengan iklan-iklan produk penurunan berat badan yang menjanjikan kesan dalam tempoh yang singkat kerana berkemungkinan produk tersebut telah dicampur palsu dengan bahan terkawal seperti sibutramine, orlistat, phentermine dan lain-lain. 

Dari sudut hukuman pula, bagi produk kesihatan yang tidak berdaftar, kes akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Dapatkan khidmat nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum membeli produk kesihatan. Elakkan membeli ubat di pasar-pasar, kaki lima, kiosk-kiosk dan laman web atau media sosial yang dikendalikan oleh individu yang tidak bertauliah. Pastikan ubat atau produk farmaseutikal berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL beserta label keselamatan hologram dan iklannya diluluskan oleh LIU. 

Bersempena dengan Kempen Waspada Pembelian Ubat Online #biarbetuliklanni!, orang awam juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada apabila membeli ubat dalam talian dan sentiasa membuat semakan dahulu sebelum klik mana-mana pautan untuk pembelian. 

Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui talian 03-78413200 atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan. 

Orang awam juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum) untuk sebarang persoalan berkaitan ubat-ubatan.

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Alhamdulillah sebelum ni berjaya hilangkan 12kg dengan makan nasi, buah sayur dan suplemen jugak. Yg penting 80% pemakanan kita kena jaga 😁

    BalasPadam
  2. Betul tu. Kena semak, terutamanya ni benda yg masuk dlm badan, consume. Kalau sapu2 luar pun dh risau kulit. Artikel yg bagus.

    Comment by Jawatan Kosong

    BalasPadam

Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y