Nak Guna Pil Perancang, Jangan Sesuka Hati. Perlu rujuk Doktor , ahli farmasi terlebih dahulu


Merancang keluarga merupakan perkara yang penting untuk meningkatkan kualiti hidup berkeluarga dan memastikan keluarga bebas daripada tekanan. Perancangan keluarga yang baik boleh membantu wanita untuk menjarakkan kehamilan bagi memastikan kesihatan ibu berada pada tahap optimum sebelum kehamilan seterusnya. 

tanda awal kehamilan, awasi tanda awal kehamilan
Nak Guna Pil Perancang, Jangan Sesuka Hati. Perlu rujuk Doktor , ahli farmasi terlebih dahulu

Pil pencegah hamil merupakan salah satu kaedah pencegahan kehamilan yang kerap digunakan oleh kaum wanita. Kini, terdapat pelbagai jenis pil pencegah hamil yang berdaftar di Malaysia dalam pasaran. 

Seseorang wanita yang ingin mengambil pil pencegah hamil dinasihati untuk berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memulakannya supaya kesesuaian dapat dikenal pasti dan nasihat yang tepat dapat diberikan. Kesesuaian pengambilan pil pencegah hamil ini adalah berbeza bergantung kepada keadaan kesihatan wanita. Wanita yang mempunyai masalah kesihatan atau sedang mengambil ubat-ubatan tertentu mungkin kurang sesuai untuk mengambil pil pencegah hamil. 

Pil pencegah hamil mengandungi hormon yang boleh menghalang pengeluaran telur semasa ovulasi. Hormon ini juga boleh menyebabkan perubahan pada mukus serviks dan ini seterusnya membentuk halangan fizikal untuk mengelakkan pergerakan sperma ke dalam rahim. 

Terdapat dua kumpulan pil pencegah hamil yang utama, iaitu pil pencegah hamil berhormon tunggal (kumpulan progesteron sahaja) dan pil kombinasi (kumpulan estrogen dan progesteron). Ada pelbagai jenama pil pencegah hamil yang mengandungi komposisi, dos hormon estrogen dan progestogen, bilangan pil dalam pek serta arahan pengambilan yang berbeza dalam pasaran. 

Pil berhormon tunggal yang mengandungi progesteron sahaja lazimnya digunakan oleh wanita yang sedang menyusukan anak kerana pil ini biasanya tidak mengurangkan penghasilan susu badan. Walau bagaimanapun, pil ini mungkin menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan haid dan sakit kepala. 

Pil kombinasi kedua-dua hormon kumpulan estrogen dan progesteron lebih kerap digunakan dalam pencegahan kehamilan.  Pil kombinasi estrogen dan progesteron perlu diambil seperti diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi. Antara kesan sampingan yang mungkin dialami adalah loya, muntah, sakit kepala, perubahan berat badan dan sebagainya. 

Seseorang wanita juga dinasihati untuk membaca sisip bungkusan pil tersebut dengan teliti dan fahami cara pengambilan pil serta arahan spesifik yang perlu dilakukan sekiranya terlupa mengambil pil. Arahan tindakan yang perlu diambil sekiranya tertinggal dos adalah berbeza bergantung kepada jumlah dos atau pil yang tertinggal dan juga jenama pil tersebut. 
tanda awal kehamilan
Sila rujuk kepada ahli farmasi atau sisip bungkusan pil perancang untuk mengetahui arahan berkaitan dos yang tertinggal. Langkah pencegahan kehamilan alternatif atau tambahan lain seperti penggunaan kondom mungkin disarankan bagi mencegah kehamilan. Risiko untuk hamil adalah tinggi sekiranya seseorang wanita itu kerap tertinggal mengambil pil pencegah hamil.
Tanda Awal Kehamilan
Bagi memastikan keberkesanan pil pencegah hamil ini, adalah dinasihatkan supaya pil ini diambil pada masa yang sama setiap hari seperti diarahkan. Seseorang wanita boleh hamil sekiranya gagal mematuhi cara pengambilan pil pencegah hamil. Bagi mengelakkan daripada terlupa mengambil pil, pelbagai kaedah boleh digunakan, antaranya adalah:  

• Pilih masa yang sesuai untuk mengambil pil setiap hari. Contohnya ambil pil sebelum tidur. 

• Menggunakan penggera dalam aplikasi yang boleh dimuat turun dalam telefon pintar.

• Guna kalendar. Tandakan pada kalendar selepas ambil pil dan tanda hari untuk mulakan pek baru. 

• Periksa pek pil setiap pagi untuk memastikan anda betul-betul telah mengambil pil hormon tersebut semalam. 
Sebagai maklumat tambahan, pil pencegah hamil tidak melindungi seseorang individu daripada penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks seperti jangkitan HIV. 

Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi berkaitan cara pengambilan pil pencegah hamil yang betul.

Catat Ulasan

0 Ulasan