#7 Kisah Nabi Luth

5/07/2020
Nabi Luth ‘Alaihissalam

kisah nabi luth


Did you know?

1) Nabi Luth berasal daripada Babylon (Iraq) di tanah kelahiran bapa saudaranya nabi Ibrahim. Semasa dalam perjalanan nabi Ibrahim berhijrah bersama keluarganya dari Iraq ke Syria ke Palestin yang turut disertai oleh nabi Luth, Allah telah memerintahkan nabi Luth untuk pergi ke sebuah kota bernama Sodom utk menjalani misi yang paling mencabar iaitu berdakwah kepada orang-orang Sodom supaya bertaubat dan kembali ke jalan Allah.

2) Kota Sodom terletak di sempadan Jordan dan Palestin yang sekarang dikenali sebagai Laut Mati atau ‘The Dead Sea’. Pada masa itu, Laut Mati merupakan sebuah tanah rata dan Kota Sodom ini menjadi tumpuan para pengembara dan pedagang yang datang untuk berdagang. Kota tersebut pesat namun penuh dengan rasuah dan ketidakjujuran. Kemungkaran berlaku berleluasa sehinggakan Allah menggunakan perkataan-perkataan yg paling hina untuk menerangkan kaum Luth (penduduk Sodom) di dalam Al Quran.

3) Kaum ini melakukan segala jenis jenayah seperti merompak, membunuh, dan kaum Luth adalah kaum yang pertama sekali melalukan kegiatan homoseksual (perkataan ’sodomy’ berasal daripada nama kaum ini). Teruknya akhlak mereka ini sehingga mereka bangga dengan status LGBT dan melakukan maksiat songsang di khalayak ramai adalah normal bagi mereka.

4) Nabi Luth berhijrah dan menetap di Kota Sodom. Berkali-kali nabi Luth mengajak kaumnya untuk bertaubat dan kembali kepada fitrah. Namum kaum terkutuk ini benci dengan dakwah nabi Luth sehingga menyuruh baginda diam dan dilarang bercakap dengan sesiapa pun. Nabi Luth bersumpah kepada Allah bahawa baginda tidak terlibat dan tidak akan sama sekali terjebak dengan kegiatan kaumnya. Mereka terasa hina dengan sumpah nabi Luth itu seolah-olah baginda berlagak suci. Kemudian mereka mengugut nabi Luth. Jika baginda tidak berhenti berdakwah, mereka akan menghalau keluarga nabi Luth keluar dari kota Sodom.

5) Nabi Luth tidak menghiraukan ugutan kaumnya dan terus-terusan berdakwah. Nabi Luth berpesan, takutlah dengan hukuman Tuhan! Sehingga sampai satu masa kaum itu mencabar baginda, “Bawakan hukuman tuhanmu sekarang! Buktikan kepada kami!” Maka Allah pun menurunkan kemurkaannya. Allah menghantar tiga malaikatnya yang menyerupai tiga pemuda yang sangat tampan.

6) Selingan: Ketika tiga malaikat ini ke kota Sodom, mereka ke rumah nabi Ibrahim terlebih dahulu. Nabi Ibrahim tidak kenal siapakah tiga pemuda ini namun disebabkan baginda sangat menghormati tetamu, nabi Ibrahim menghidangkan makanan yang sedap-sedap daripada sapi yang disembelihnya. Apabila Nabi Ibrahim makan, tiga tetamunya tidak menyentuh makanan tersebut. Nabi Ibrahim mula berasa hairan. Kemudian mereka berkata, “Jangan takut, kami adalah malaikat yang dihantar oleh Allah”. Dan mereka menyampaikan berita gembira bahawa Siti Sarah, isteri nabi Ibrahim yang mandul, sedang mengandungkan anak kedua nabi Ibrahim iaitu nabi Ishak (anak pertamanya ialah nabi Ismail dari isteri keduanya Siti Hajar). Dan mereka juga memberitahu bahawa mereka akan ke Sodom untuk memusnahkan kaum Luth atas perintah Allah. Nabi Ibrahim resah kerana risaukan anak saudaranya, nabi Luth dan berdoa agar Allah menyelamatkan nabi Luth sekeluarga.

7) Dari jauh, anak perempuan nabi Luth ternampak tiga pemuda tampan tadi memasuki kota Sodom. Dia terus berlari pulang ke rumah dan memberitahu bapanya. Nabi Luth bertemu dengan tiga pemuda itu dan cuba memujuk mereka untuk patah balik semula namun ditolak. Oleh itu, Nabi Luth membawa mereka ke rumahnya secara sembunyi kerana bimbang kepada pemuda tampan tersebut dek kerana maksiat songsang sangat berleluasa pada ketika itu.

8 ) Isteri nabi Luth ialah seorang musyrik yang tidak percaya kepada dakwah suaminya. Apabila isteri baginda melihat tiga pemuda tersebut di rumahnya, dia memberitahu orang ramai untuk datang melihat. Kemudian para lelaki daripada kaum itu datang beramai-ramai dan mengetuk pintu rumah nabi Luth. Nabi Luth berkata, “Jangan kamu malukan aku di depan tetamuku!” Nabi Luth berkata “Berkahwinlah dengan anak-anak perempuanku!” Mereka menjawab, “Kau tahu kami tidak berminat dengan anak perempuanmu dan kau mengetahui apa yang kami mahukan” Rujuk Al Quran (11:79). Nabi Luth berkata lagi, “Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau mempunyai penyokong-penyokong yang kuat” rujuk Al Quran (11:80).

9) Kemudian tiga pemuda tadi berkata kepada nabi Luth bahawa mereka sebenarnya malaikat yang diutus Allah untuk membinasakan kaum Luth. Mereka menyuruh nabi Luth membawa keluarganya lari daripada kota itu pada waktu malam dan jangan seorang pun toleh ke belakang; kecuali isterinya. Rujuk Al Quran (11:81). Salah seorang malaikat tadi adalah Jibril. Jibril membuka pintu rumah nabi Luth dan sepantas angin memukul seluruh kaum Luth lalu mereka menjadi buta. Kemudian nabi Luth sekeluarga lari dari kota Sodom. Allah menurunkan tiga malapetaka kepada kaum nabi Luth.

10) Pertama: Keesokan paginya, datang bunyi kuat yang amat dahsyat yang dipanggil As-Saihah. Kuatnya bunyi itu sehingga bergegarnya tanah. Bunyi ini lah yang Allah turunkan untuk membinasakan kaum Thamud sebelum ini.

11) Kedua: Jibril kembali ke bentuk asalnya dan menggunakan hujung sayapnya, dia telah mengangkat seluruh kota Sodom ke langit dan menterbalikkannya dan ia jatuh ke bumi.

12) Ketiga: Kemudian Allah menurunkan batu-batu berapi menghujani kota Sodom - Rujuk Al Quran (11:82). Dan setiap batu itu bertanda nama setiap org kaum Luth yang akan ditimpanya - rujuk Al Quran (11:83).

13) Maka hilanglah sebuah lagi kaum dan kotanya sekali di bumi Allah, akibat mencabar kemurkaanNya. Allah kemudian menjadikan Laut Mati di tempat asal kota Sodom sebagai peringatan kepada manusia tentang apa yang telah terjadi kepada kaum Lut.

14) Nabi Luth pergi berjumpa bapa saudaranya, Nabi Ibrahim untuk menceritakan apa yang telah berlaku namun nabi Ibrahim telah pun mengetahuinya. Nabi Luth meneruskan hidupnya berdakwah kepada orang ramai supaya sentiasa beriman kepada Allah.

Sumber : Facebook kisah para anbiya', kisah nabi, kisah 25 rasul,

No comments:

Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y

Full design templates by Eiyza Ezatul. Powered by Blogger.