Sumbangan Sains Dalam Mengekang COVID-19

Pada 31 Ogos yang lepas, akhirnya esei yang bertajuk Sumbangan Sains Dalam Mnegekang COVID-19 telah selamat di emel kan kepada urusetia pertandiangan menulis esei anjuran Jabatan Nuklear. Sebenarnya Syu malas betul dalam bab-bab menyertai contest sebegini. Biarpun hobi Syu menulis blog, tapi terus-terang I cakap, penulisan formal dan ilmiah begini Syu tak berapa pandai. Kalau setakat 'menggoreng' ayat santai di blog, boleh lah!

Apapun, bila melihatkan semangat budak Azrul ni untuk join juga pertandingan esei ini, jadi I setuju untuk bimbing dia menyiapkan karangan 1500 patah perkataan ini. Azrul, sepupu Syu yang paling muda (sepupu lain semua dah level kolej dan berkerja pun). Dia budaknya sangat tinggi tahap curiosity dan super aktif bila bertanya hahah. Kadang sampai tak tahu nak jawab apa dah. Dia masih belajar di tingkatan 4 dan mengambil aliran sains tulen. Bersukan, dia kurang minat. Jadi dia memilih untuk pulun dalam aktiviti sampingan sebegini untuk 'tabungan' merit kokurikulumnya.

"Tak apalah kalau tak menang hadiah utama pun, sekurang-kurangnya adik boleh dapat sijil penyertaan peringkat kebangsaan" katanya dengan membahasakan dirinya 'adik'.

pertandingan menulis esei sains minggu sains negara 2020

Jadi, inilah hasilnnya. Karangan Azrul untuk menyertai pertandingan esei sains dengan biimbingan dari Syu. Mungkin ia tidak sesempurna hasil penulisan budak bandar, tapi bagi Syu, untuk mencapai 1500 patah perkataan itu pun sesuatu yang awesome dah bila ianya dari pelajar sekolah harian, luar bandar macam Azrul. Semoga ada lah rezeki dia yang bergelar anak yatim sejak usia 6 tahun lagi.



Sumbangan Sains Dalam Mengekang COVID-19

 

Apabila COVID mula dikesan di Wuhan pada awalnya, dunia termasuk Malaysia masih tinggal selesa kerana menganggap ia cuma penularan penyakit biasa. Tidak lama selepas itu ia mula merebak menjadi endemik di Wuhan dan terus menular ke seluruh China. Bermula detik inilah masyarakat seluruh dunia mulai resah dan bimbang dengan kadar kebolehjangkitannya yang tinggi berserta kadar penularan di kalangan kontak terdekat berlaku dengan begitu cepat dan pantas. 

Pada saat COVID-19 mula menjadi pandemik, seluruh dunia menjadi panik diikuti dengan kelunturan sifat kemanusiaan sesama manusia akibat sindrom keresahan dan ketakutan yang melampau. Apabila sifat kemanusiaan terhakis, masyarakat dilihat tidak lagi memperdulikan orang sekeliling sehingga tega membiarkan seseorang yang jatuh pitam di tempat awam tanpa ada seorangpun yang memberikan bantuan, malah sebaliknya bertempiaran lari menjauhkan diri. Ianya keadaan sosial yang amat menyedihkan. 

Penularan COVID ke seluruh dunia telah menjejaskan hampir kesemua aspek dalam kehidupan manusia. Aspek yang paling ketara terjejas adalah ekonomi, apabila banyak firma dan perusahaan terpaksa gulung tikar lalu mengakibatkan ramai yang kehilangan pekerjaan. Seterunya aspek sosioemosi di mana rata-rata masyarakat mengalami ‘anxiety’, yakni kebimbangan yang teruk susulan kehilangan mata pencarian sehingga secara tidak langsung menyebabkan peningkatan kes perceraian secara mendadak. Tren ini dapat dilihat berlaku kepada semua negara yang dilanda krisis COVID-19. 

Pandemik ini juga telah mencetuskan situasi saling menyalahkan antara negara yang terlibat. Desas-desus yang menuduh bahawa ini merupakan sebuah kospirasi di mana virus ini sengaja dicipta dengan tujuan untuk menakluk dunia. Dalam kekalutan ini, ada juga segelintir golongan oportunis sempat mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual pelitup muka dan cecair sanitasi nyah kuman pada harga yang melampau dan tidak masuk akal. Begitu juga dengan penjualan produk suplemen ‘megadose’ vitamin C yang kononnya berkesan menghalang diri dari dijangkiti virus, sedangkan sehingga kini tiada bukti saintifik yang konkrit bahawa mengambilan vitamin C pada dos tinggi dapat menyelamatkan seseorang dari terkena virus corona. 

Impak penjualan produk palsu dan tidak berkesan seperti ini telah menyebabkan peningkatan jumlah pesakit positif corona yang mendadak sehingga di sesetengah negara membangun, hospital tidak lagi dapat menampung pertambahan bilangan pesakit. Bekalan ubat-ubatan, peralatan serta mesin bantuan perubatan seperti ventilator semakin terhad dan menyebabkan pesakit lain yang turut dalam keadaan kritikal terpaksa dibiarkan mati. 

Nah. Semua ini berlaku pada tahun 2020, di mana dunia mempunyai ramai ilmuan bijaksana dengan kemajuan sains teknologi yang terkedepan, namun kita masih juga menghadapi kesulitan dalam mengekang masalah ini. Dan percayalah pada ketika ini para saintis dan golongan bijak pandai sedang bersengkang mata, memerah otak dan tangan mereka di dalam makmal mencari penyelesaian terhadap pandemik ini bagi memastikan ketamadunan manusia tidak lenyap dari muka bumi ini. 

Hakikat peperangan dalam menentang COVID-19 sebenarnya lebih luas skopnya daripada sekadar membasmi penularan virus. Peperangan yang dihadapi kini merupakan peperangan dalam memutuskan rantaian jangkitan virus, memulihkan ekonomi, mensejahterakan rakyat, serta merangka strategi untuk menangani krisis dengan berksan dan efisien. Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk mengekang COVID-19 dengan efisien? Ya sudah tentu dengan bantuan ilmu dan kemajuan sains dan teknologi. 

Sebelum topik mengenai sumbangan sains dalam mengekang COVID-19 ini dikupas lebih lanjut, mari sama-sama terlebih dahulu kita mengenali apakah itu COVID-19. Nama COVID adalah berasal daripada singkatan perkataan corona virus disease yang merupakan penyakit sindrom pernafasan akut yang parah [severe acute respiratory syndrome (SARS)]. Pada 11 Februari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan nama penyakit ini sebagai Coronavirus Disease 2019 dengan singkatan COVID-19. Digit 19 pada penghujung perkataan COVID itu merujuk kepada kes pertama virus ini dijumpai dalam badan manusia, iaitu pada Disember 2019 di Wuhan. 

Sekarang seluruh dunia menggunakan perkataan COVID-19 bagi mewakili nama penyakit bawaan virus corona. Virus Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV-2) sebelum ini disebut sebagai novel coronavirus-2 namun WHO menyarankan agar hanya nama penyakit sahaja disebut di hadapan umum, iaitu COVID-19, bukan coronavirus. 

Langkah pertama dalam usaha untuk mengawal penularan wabak sesuatu penyakit, ujian pegesanan virus perlu dilakukan dengan pantas dan cekap. Tahap kecekapan yang tinggi dapat memastikan individu yang positif dapat dikesan dengan segera sebelum sempat dirinya menjadi penyebar di kalangan ahli keluarga dan masyarakat awam. Sehingga hari ini Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan kapasiti ujian pengesanan COVID-19 yang melibatkan proses diagnostik oleh juruteknologi makmal yang terlatih. 

Untuk menjalankan proses pengesanan COVID-19, ianya perlu dilakukan di dalam makmal khas untuk mikrobiologi dan parasitologi, demi menjamin keselamatan petugas makmal yang mengendalikan sampel. Secara asasnya, ujian pengesanan COVID-19 terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat pertama, proses mengekstrak asid nukleik dari virus dan proses kedua dikenali sebagai amplifikasi dengan menggunakan mesin. Ujian pengesanan COVID-19 ini merupakan salah satu sumbangan besar sains atau sekarang ini lebih popular disebut STEM (Science Technology Engineering Mathematics) dalam peperangan melawan kuman SARS-CoV-2. 

Selain itu, dengan bantuan kemajuan sains juga para jurutera dapat mencipta mesin-mesin yang mampu menjadi pemudahcara kepada manusia dalam mengendalikan tugasan yang berisiko tinggi dan berbahaya seperti prosedur sanitasi awam di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Wilayah atau kampung yang dikenakan PKPD tidak dibenarkan keluar dan orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut. Namun dengan bantuan sains, prosedur sanitasi awam dapat dijalankan dari udara menggunakan drone, dan sekaligus dapat merendahkan risiko jangkitan kepada petugas barisan hadapan. Selain itu, drone turut digunakan untuk mengesan suhu badan di tempat awam bagi mengenalpasti individu yang demam. 

Sementara vaksin COVID-19 sedang dalam proses pembangunan, usaha dalam pengawalan penularan penyakit seperti inovasi industri digital juga turut mempunyai sains di sebaliknya. Dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini dimana rakyat harus duduk di rumah dan berkerja dari rumah. Tidak dinafikan ramai di antara kita yang merana kerana terpisah daripada keluarga. Sebarang aktiviti sosial secara bersemuka dan majlis keramaian juga dilarang. Namun, dari setiap musibah yang melanda pasti hikmah akan datang bersama. Walaupun kita terpisah dengan jarak, tapi dengan kemajuan sains kita masih dapat berinteraksi melalui panggilan video. Kini rakyat Malaysia sudahpun terbiasa dengan idea bekerja dari rumah dan sebarang perbincangan berkenaan kerja akan dibincang dalam mesyuarat melalui medium elektronik. 

Segala perubahan dan inovasi yang berlaku ini akan mendorong kepada perkembangan industri digital. Salah satu contoh industri yang begitu jelas melonjak selepas pendigitalan adalah sektor perniagaan. Di sana sini kita dapat lihat kebanyakan pemilik restoran dan peniaga makanan yang sebelum ini menggunakan kaedah jual beli konvensional telah beralih kepada khidmat pesanan penghataran. Begitu juga dengan khidmat jualan atas talian dengan menggunakan platform e-dagang yang menjadi begitu popular semenjak pandemik ini melanda. Memang menakjubkan apabila melihat sisi positif bagi penularan wabak COVID-19 ini. 

Jika sebelum ini, kerajaan bertungkus-lumus meyakinkan rakyat untuk beralih ke medium digital melalui Revolusi Perindustrian 4.0, namun hasilnya masih ramai yang bersikap skeptik dan menolak usaha kerajaan dalam mengalih kebanyakan urusan manual kepada elektronik. Sains di sebalik dunia digital teramat lah luas, merangkumi aspek kestabilan sistem, keselamatan, perlindungan identiti dan data peribadi. Sehingga kini, rakyat semakin yakin menggunakan aplikasi e-dompet dan pembayaran melalui kaedah mengimbas kod QR semasa di kaunter bayaran kerana ingin mengelakkan sentuhan yang menjadi faktor kepada jangkitan virus COVID. 

Bagi membendung penularan COVID-19, sains bukan sekadar diperlukan ketika proses pengesanan pesakit atau pembangunan vaksin semata-mata. Kefahaman sains turut penting dalam urusan seperti penjagaan tahap kebersihan individu atau ketika proses nyah jangkit di ruang awam. Jadi pengamalan prosedur operasi standard (SOP) dan pengawalan kendiri perlu diutamakan. Setiap hari di kaca televisyen dan di corong-corong radio pesanan supaya mematuhi SOP dan kerap membasuh tangan dengan sabun sentiasa disiarkan berulang-ulang. Jadi mengapa kita disarankan untuk kerap membasuh tangan dengan menggunakan sabun? Bagaimana sabun biasa, yang diperbuat daripada minyak sawit dapat membunuh kuman penyebab COVID? 

Baik, penerangan dari segi sains molekul, sabun mempunyai dua bahagian aktif iaitu bahagian larut air (hidrofilik) dan larut lemak (hidrofobik). Bahagian hidrofobik amat cenderung kepada lemak dan minyak, maka bahagian ini mampu melarutkan struktur dinding luar kuman seperti virus dan bakteria lalu memusnahkannya. Sifat dua polar hidrofilik dan hidrofobik ini jugalah yang bertindak membersihkan kulit dari kotoran sekaligus dapat menyahaktifkan kuman. Jadi sebab itulah kita lebih digalakkan untuk mencuci tangan sekurang-kurangnya 20 saat dengan menggunakan air dan sabun berbanding mensanitasi tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman beralkohol. 

Sumbangan sains dalam usaha mengekang COVID-19 tidak dapat dinafikan lagi. Sains memainkan peranan dalam kesemua perspektif bagi menghalang penularan virus yang sangat tinggi kadar kebolehjangkitannya terhadap manusia. Perjuangan kita dalam menentang virus ini masih belum selesai. Ujian klinikal vaksin COVID-19 pun masih dalam proses dan menurut laporan dari Berita Harian, paling awal vaksin tersebut dapat diedarkan pada suku pertama tahun 2021 nanti. Sementara itu, kita harus jaga diri kita dan amalkan sifat sentiasa bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri dan orang sekeliling. 

Pembangunan aplikasi MySejahtera juga merupakan salah satu contoh perkembangan sains dalam membantu kerajaan mengesan pergerakan rakyat serta tahap risiko setiap individu. Untuk membangunkan sesebuah aplikasi mudah alih bukanlah sesuatu yang mudah dan murah. Ianya memerlukan kemahiran saintifik dan teknikal yang tinggi supaya aplikasi mudah alih yang terhasil itu nanti berkemampuan untuk menjalankan fungsinya dengan berkesan, sekaligus memudahkan pengguna. Jadi hargailah susah payah kerajaan dan semua perwira negara dalam mengekang penularan COVID-19. Gunakanlah aplikasi MySejahtera di mana sahaja kalian pergi. Ianya tidak susah, hanya perlu mengimbas kod QR dengan menggunakan telefon bimbit sahaja, dan anda boleh memasuki premis. 

Ambillah pengajaran daripada peristiwa bagaimana tercetusnya kluster PUI Sivaganga. Kluster ini berlaku rentetan daripada ketidakpatuhan SOP dan perintah kuarantin. Dalam mengekang COVID-19, kita sebagai individu perlu mengekangnya terlebih dahulu melalui pengawalan kendiri berserta dengan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam diri. Kita jaga kita. Kita mesti menang.

  TAMAT


Tidak dibenarkan menciplak/menyalin tampal/menyiar semula artikel ini tanpa kebenaran penulis. Jadilah pengguna internet yang bertanggungjawab dan beriman.

 

No comments:

Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y

Full design templates by Eiyza Ezatul. Powered by Blogger.