Menyusukan anak kembar memerlukan semangat yang kuat, dan anda mungkin rasa sukar pada mulanya. Tetapi tiada sebab mengapa anda tidak boleh melakukannya. Azam dan kepercayaan bahawa anda boleh melakukannya adalah penting dalam menjayakan penyusuan badan.
Bolehkah saya menyusukan dua orang bayi pada masa yang sama?
Boleh, namun anda perlukan masa dan latihan untuk membiasakan diri. Menyusukan anak kembar anda serentak akan menjimatkan masa dan membolehkan anda mendapat lebih rehat dan tidur. Jika seorang bayi menyusu lebih kuat daripada yang seorang lagi, dia mungkin menyebabkan refleks letdown berlaku lebih cepat.
Refleks letdown adalah keadaan di mana susu memancut keluar. Ia berlaku apabila sel-sel otot dalam payudara anda dirangsang untuk menekan kantung-kantung berisi susu. Ini membuatkan susu tersedia untuk bayi anda. Memandangkan refleks ini berlaku dalam kedua-dua belah payudara secara serentak, ia memberi manfaat kepada kedua-dua bayi pada masa yang sama.
Menyusukan kedua-dua kembar serentak juga membolehkan anda menenangkan kedua-dua mereka dan menghilangkan kelaparan mereka sekaligus. Namun memandangkan setiap kembar adalah individu yang berlainan, seorang kembar mungkin ingin menyusu lebih kerap daripada kembar yang seorang lagi.
Tip-tip bagi penyusuan secara serentak:
-Gunakan kusyen atau bantal untuk menyokong bayi-bayi anda. Anda boleh cuba gunakan bantal berbentuk V yang direka khas untuk menyusukan bayi kembar.
-Anda mungkin perlu bantuan untuk meletakkan kedua-dua bayi pada posisi yang betul di atas bantal. Tetapi sebaik sahaja mereka sudah dalam posisi, permukaan bantal tersebut yang besar dan kejap akan menyokong kedua-dua bayi anda secara serentak. Ini dapat membebaskan tangan anda untuk menukar posisi atau menyedawakan setiap bayi.
-Dengan menggunakan bantal, anda boleh menukar posisi penyusuan. Contohnya, anda boleh beralih daripada pegangan pangkuan (merentasi dada) kepada pegangan ragbi (di bawah lengan). Atau anda boleh gabungkan kedua-dua posisi tersebut.
-Tiada cara yang diterima sebagai terbaik untuk menyusukan bayi kembar anda, oleh itu pilihlah kaedah yang sesuai dengan anda dan mereka.
Anda perlu bertukar-tukar payudara ketika menyusukan kerana kemungkinan besar bayi-bayi anda tidak menyusu dengan cara yang sama. Bertukar-tukar payudara memboleh bayi yang lebih kuat menyusu untuk memacu penghasilan susu dalam kedua-dua belah payudara, lantas memastikan bekalan susu sentiasa tinggi.
Jika sukar bagi anda mengingati kembar mana yang menyusu di setiap payudara ketika sesi penyusuan yang terakhir, cuba bertukar payudara setiap 24 jam berbanding setiap selepas sesi penyusuan.
Adakah tempoh penyusuan lebih panjang?
Menyusu badan anak kembar mengambil masa lebih kurang sama dengan penyusuan botol. Penyusuan botol mungkin mengambil masa lebih panjang berbanding penyusuan badan kerana anda perlu menyediakan dan membancuh susu formula, dan kemudian mencuci dan mensteril botol tersebut.
Bolehkah saya menghasilkan susu yang cukup untuk lebih daripada seorang bayi?
Boleh. Ramai ibu yang menyangka bekalan susu mereka rendah, tetapi sebenarnya tidak. Jika anda bimbang mengenai perkara ini, yakinlah bahawa anda boleh merangsang penghasilan susu jika anda:
-Pastikan bayi-bayi anda melekap dengan sempurna.
-Menyusukan dengan lebih kerap.
-Mengepam dengan lebih kerap.
Jika anda bimbang samada bayi-bayi anda mendapat susu yang cukup ataupun tidak, kiralah berapa kali anda perlu menukar lampin setiap seorang daripada mereka. Dalam masa 48 jam selepas dilahirkan, kemungkinan besar mereka hanya perlu ditukar lampin dua atau tiga kali sahaja.
Bagaimana jika bayi-bayi saya ditempatkan dalam penjagaan khas?
Jika anda tidak dapat menyusukan mereka serta-merta, mulalah mengepam susu pertama (kolostrum) anda secepat mungkin selepas anda bersalin.
Untuk mengekalkan bekalan susu yang mencukupi, anda perlu mengepam dengan kerap, sekurang-kurangnya lapan kali dalam masa 24 jam, sehingga bayi anda dapat menyusu secara langsung.
Mengepam susu mungkin satu tugas yang sukar, dan anda juga mungkin rasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat memegang bayi-bayi anda. Tetapi susu badan anda benar-benar membantu membina kekuatan mereka, terutamanya jika mereka dilahirkan pramatang.
Adakah puting saya sakit kerana menyusukan dua orang bayi?
Tidak. Kesakitan ini adalah kerana bayi tidak melekap dengan baik, bukannya kerana jumlah bayi yang anda susukan atau berapa kerap anda menyusukan mereka.
Maklumkan kepada doktor dan mintalah bantuan dalam memastikan bayi-bayi anda dapat melekap dengan betul. Mungkin ada seorang pakar laktasi di hospital tersebut yang dapat membantu anda.
Jika puting anda sakit atau rosak, anda boleh sapu sedikit lanolin yang ditulenkan, jeli petroleum atau minyak parafin lembut pada puting anda sebaik sahaja selepas penyusuan. Ini akan membantu mengelakkan puting anda merekah akibat kering dan berkerak. Ini juga membantu mengurangkan rasa sakit ketika menyusukan.
Moga dengan beberapa tips ini dapat membantu ibu-ibu berasa lebih tenang dan yakin untuk menyusukan si kembar anda!
Semoga bermanfaat..
Entri berkaitan :
0 Tips Menjayakan Penyusuan Bayi Pramatang
0 Bersalin melalui pembedahan caesarean
Entri berkaitan :
Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y