Mitos - Betul ke Sumbing atau Cleft Palate berpunca dari kenan

Artikel asal : M3

punca-utama-bayi-sumbing


Mesti ramai pernah dengar pasal sumbing bibir/lelangit kan?

Biasanya ia dikaitkan dengan dengan mitos kononnya sumbing pada anak-anak kerana ayahnya kuat memancing semasa ibu hamil; ibu/ayah telah membunuh ular lalu badi terkena pada bayi yang dikandung atau paling sadis, kerana ibu telah menyiang ikan semasa hamil (sebab itu ada sesetengah ibu akan dilarang untuk menyiang ikan semasa hamil-alamatnya..tak berasaplah dapur..

Sebenarnya larangan-larangan itu diberi bertujuan untuk pemberi peringatan kepada bakal-bakal ibu supaya memupuk sifat baik bermula dari kehamilan lagi kerana mahu mendidik seorang anak bukan semudah yang disangka. Selain itu, mendera binatang bukan salah satu sifat terpuji.
“Orang-orang yang bersifat rahmat dan belas kasihan, mereka itu dirahmati oleh Tuhan ar-Rahman, maka hendaklah kamu bersifat rahmat kepada penduduk-penduduk bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh siapa yang berada di langit.
(Hadis riwayat Abu Daud)

-------

Sumbing bibir dan sumbing lelangit merupakan kecacatan sejak kelahiran. 
Sumbing bibir ialah rekahan pada bibir atas manakala sumbing lelangit ialah rekahan pada garis tengah lelangit. Dalam sesetengah kes yang lebih serius, sumbing akan bermula dari bahagian atas bibir kumudian melalui hidung terus ke bahagian belakang mulut.

Sumbing bibir dan lelangit merupakan salah satu masalah kesihatan kongenital yang selalu terjadi di seluruh negara. Kadar kejadian sumbing ini berbeza mengikut negara dan ia berkait rapat dengan pelbagai faktor antaranya;

1) Genetik (30% kejadian pada mereka yang mempunyai ahli keluarga dengan kecacatan yang sama)

2) Kesihatan ibu sewaktu mengandung

3) Persekitaran.

4) Keracunan seperti ubatan, mendapat jangkitan viral atau racun yang dihasilkan oleh mana-mana bakteria semasa hamil.

5) Ibu merokok semasa hamil atau seorang perokok pasif

6) Pengambilan alkohol semasa hamil.

7) Pengambilan ubatan tradisional yang menganggu pertumbuhan janin.

8) Kekurangan folic acid yang merupakan sangat penting dalam pembinaan DNA serta pertumbuhan janin.

** Sumbing bibir dan sumbing lelangit boleh terjadi secara berasingan atau kedua-duanya sekali.

** Sumbing bibir dan sumbing lelangit terjadi anggaran 1 dalam 1000 kelahiran. Sumbing lelangit sahaja anggaran 1 dalam 2000 kelahiran.

** Kedua-dua keadaan ini berlaku disebabkan oleh 'rekahan' pada garis tengah lelangit akibat daripada kegagalan kedua-dua sisi lelangit dari bercantum semasa perkembangan janin pada usia 3 bulan dalam kandungan.
(Secara ringkasnya, pembentukan bibir janin akan bermula sejak minggu ke-5 kehamilan dimana tisu atas bibir membentuk dengan naik keatas dan kemudian berputar dari posisi menegak ke posisi melintang dan bercantum dengan tisu hidung yang berada di tengah. Kegagalan proses ini akan menyebabkan sumbing di bibir berlaku.)

❗Kebiasaannya, pesakit/bayi dengan sumbing bibir dan lelangit ini mempunyai keadaan pemikiran dan fizikal yang normal.

❗Namun, sumbing di bibir dan lelangit juga boleh berlaku serentak dengan kecacatan fizikal atau penyakit-penyakit yang lain.

Mereka dengan sumbing bibir akan mengalami beberapa masalah antaranya masalah dengan penampilan wajah, cara pemakanan, cara pertuturan, mengalami masalah cecair keluar dari telinga, gangguan pada pertumbuhan dan kesihatan gigi dan juga pertumbuhan bentuk muka.
Bayi dengan masalah sumbing lelangit pula akan berdepan dengan beberapa masalah antaranya ;
Masalah semasa penyusuan dimana bayi tidak dapat menyusu dengan sempurna lalu menyebabkan bayi mendapat susu yang tidak cukup. Hal ini terjadi kerana pembentukan mulutnya yang tidak sempurna. 
Masalah ini bula bergantung kepada keterukan sumbing itu sendiri.

Jadi, bagi menyelesaikan masalah ini, penyusuan susu ibu secara langsung adalah amat digalakkan. Jika bayi mempunyai masalah berbuat demikian, pemberian EBM/susu formula boleh dilakukan dengan menggunakan sudu.

Dalam sesetengah keadaan pula, susu akan mudah masuk melalui hidung atau telinga dalam. Maka pemberian susu dengan cara mendudukkan bayi sedikit menegak semasa memberi penyusuan adalah digalakkan. Ini dapat mengelakkan risiko bayi tersedak.

✔Seperti yang kita tahu, mereka dengan masalah sumbing ini akan mengalami masalah pertuturan lebih-lebih lagi kanak-kanak kerana otot lelangit mereka tidak berfungsi dengan sempurna. Maka mereka akan cenderung mengalami masalah 'sengau' serta kurang fasih bertutur. Kanak-kanak ini akan dihantar ke 'speech therapy' secara berkala.

✔ Kesan psikologi adalah salah satu kesan yang akan kelihatan ketara atas alasan 'kekurangan' dalam pertuturan, kosmetik, serta bentuk gigi yang mungkin tidak cantik akan menyebabkan pesakit/ kanak-kanak kurang keyakinan diri.

✔ Masalah bagi ibu bapa dengan bayi dengan masalah sumbing ini adalah apabila mahu berhadapan dengan masyarakat yang akan memandang negatif bayi mereka yang mempunyai sumbing bibir dan lelangit. Maka kaunseling perlu diberikan kepada kedua ibu dan bapa.

✔ Rawatan pembedahan bibir biasanya boleh dilakukan apabila bayi berumur 3-6 bulan manakala bagi pembedahan lelangit pula, boleh dilakukan antara 6-12 bulan bergantung kepada kelebaran pembukaan dan tahap kesihatan bayi itu.

✔ Jika bayi menghidap sumbing di bibir, bayi tersebut akan mempunyai ‘gap’ iaitu ruang di antara bahagian gusi di mana mungkin satu pembedahan penampalan tulang dibahagian gusi akan dilakukan pada umur belasan tahun setelah gigi kekal tumbuh menggantikan gigi susu.

✔ Proses pembentukan semula hidung atau rhinoplasty pula akan dilakukan biasanya sewaktu pesakit berusia 17-18 tahun.

🛇🛇 Ibu bapa boleh merujuk kepada badan NGO Cleft Lips and Palate Association Malaysia (CALAPAM) http://www.clapam.org.my/ atau beberapa Facebook group / page yang ditubuhkan bagi tujuan memberi bantuan serta berkongsi idea tentang sumbing bibir dan lelangit ini.

Kebiasannya, bayi yang mempunyai penyakit sumbing bibir atau lelangit akan mendapat rawatan susulan sehingga dewasa. Maka disini amat penting agar ibu bapa mengikuti jadual rawatan susulan yang telah diberi.

------

Oleh itu, ibu dan bapa seeloknya berhenti dari menyalahkan satu sama lain jika ditakdirkan mempunyai anak dengan masalah sumbing ini. Rujuk kepada doktor bagi membincangkan langkah penyelesaian yang terbaik untuk anak masing-masing. Jangan sisihkan anak-anak dengan masalah sumbing ini kerana emosi mereka akan terganggu ekoran kekurangan pada diri mereka itu.
Jangan terlalu terpengaruh dengan kepercayaan karut tentang sumpahan atau badi yang menyebabkan sumbing terjadi. Jika berlaku, ia hanyalah kebetulan sahaja.




Refferences :
http://www.cdc.gov/ncbddd/birthdefects/cleftlip.html
http://www.medicalnewstoday.com/articles/164660.php

Catat Ulasan

0 Ulasan