HATI merupakan satu perkara unik dan ajaib yang dimiliki manusia. Hati bukan semata-mata organ yang ada di dalam tubuh manusia, akan tetapi hakikat hati itu adalah tempat lahirnya perasaan, keyakinan, dan segala sifat terpuji mahupun sebaliknya.
Nabi Muhammad SAW mengisyaratkan kepada kita: “Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan itu ada sepotong daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuh badan itu, dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruhnya. Ia itu adalah qalbu (hati).” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Hati disebut sebagai al-qalbu di dalam Bahasa Arab yang bermaksud berubah. Kerana sifat hati itu sangat cepat berubah dan berbolak-balik sehinggakan Nabi SAW bersabda: “Sungguh hati anak Adam lebih cepat berbolak-balik daripada makanan yang sedang mendidih di dalam periuk.”
Hati juga merupakan tempat tilikan ALLAH SWT pada diri manusia. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya ALLAH tidak memandang kepada rupa dan amalan kamu, tetapi Dia memandang kepada hati dan niat kamu.” (Riwayat Muslim & lain-lain)
Kerana tidak ternilainya hati pada manusia, maka perlu kepada perhatian yang lebih terhadap urusan hati kita. Perlu dipelihara dan dipulihara. Agar ia tidak terbiar sehingga menjadi karat. Seperti sebuah besi yang terbiar berpanas hujan, akhirnya berkarat dan menjadi rosak.
Hati terbiar dan berkarat
Hati yang terbiar tidak dijaga boleh menjadikannya keras dan kasar. Sehinggakan apabila diberi nasihat tidak lagi memberi sebarang kesan. Tidak berasa hiba apabila disebutkan tentang kematian serta tidak berasa gentar mendengar balasan dan ancaman Tuhan di akhirat kelak. Mereka leka dan seronok melayani kehendak nafsu seperti selamanya kekal hidup di atas muka bumi. Maka awasilah hatimu.
Apakah perkara yang membuatkan hati kita boleh berubah, menjadi liar dan keras? Inilah perkara yang sangat dikhuatiri oleh orang-orang beriman. Kerana hati boleh sahaja berubah sekelip mata. Rasulullah SAW sendiri sering berdoa: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkankan hatiku atas agamaMu.”
Antara punca lemahnya hati itu adalah apabila kita terus melakukan dosa kemudian tidak mahu mengendahkan nasihat dan peringatan daripada ALLAH dan Rasul-Nya. Lalai daripada mengingati kematian dan tidak memandang berat urusan yang bakal berlaku selepas kematian. Dan terlampau mencintai dunia sehinggakan merasai ingin terus kekal di dunia.
Seperti firman ALLAH: “Bahkan telah termeterai di hati mereka dengan apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al-Muthaffifin: 14)
Hati dan iman sangat berkait rapat. Kerana iman itu adalah membenarkan dan meyakini dengan hati. Iman itu letaknya di hati. Naik dan turunnya iman itu bergantung kepada apa yang dikerjakan manusia. Maka apa sahaja perbuatan, perkataan dan pemikiran kita, akan memberi kesan kepada hati kita.
Merawat hati
Hati kita sering terdedah kepada kekotoran dan kerosakan dek kerana perlakuan kita setiap hari. Andai kita tidak mempedulikan keadaan hati kita, maka lambat laun bukan sekadar berkarat, malah dibimbangi hati itu akan mati.
Tugas kitalah menjaga dan merawat hati kita sekiranya ia telah sakit. Ulama telah menggariskan lima perkara dapat menjadi penawar bagi hati.
Lima perkara itu adalah:
1. Bergaul dengan orang-orang soleh. Menghadiri majlis atau mendapatkan nasihat daripada mereka.
2. Membaca al-Quran dan berusaha memahami maknanya.
3. Banyakkan berpuasa atau kurangkan makan.
4. Melakukan solat sunat di malam hari, memperbanyakkan zikir kepada ALLAH.
5. Sujud kepada ALLAH menjelang waktu subuh. Kerana saat ini terdapat ketenangan dan turunnya rahmat ALLAH.
Rasulullah SAW juga menganjurkan kita agar sentiasa menyegerakan bertaubat dan memperbanyakkan melakukan kebaikan setelah kita tersilap melakukan dosa dan kejahatan.
Penjagaan hati
Setelah hati yang sakit serta berkarat itu telah dirawat dan dibersihkan, maka jagalah ia. Sehingga kita dapat memperoleh hati yang sejahtera apabila kita bertemu dengan Tuhan.
ALLAH menceritakan tentang Nabi Ibrahim AS: “Dan janganlah Engkau menghinakan aku pada hari kebangkitan. Hari yang pada ketika itu harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali orang-orang yang datang menghadap ALLAH dengan hati yang selamat sejahtera (darpadai syirik dan penyakit munafik).” (Surah As-Syu’araa’: 88-89)
Pohonlah rahmat daripada Tuhan, agar sentiasa dipelihara dan ditetapkan hati kita. Sentiasa tunduk dan patuh kepada perintahNya. Berusaha dan sabar ketika diuji. Dan janganlah lupa mengucapkan seberapa banyak doa ini: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau sesatkan hati kami, sesudah Engkau tunjukki kami (jalan yang benar), dan berilah kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.
Sumber : perkongsian dari group Whatsapp usrah
Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y
Semoga Allah tetapkan hati dan iman kita pada jalannya.
ReplyDeleteDan kita sebagai manusia, seharusnya berusaha memelihara dan menjaga "hati" kita dengan baik.
Bila berbuat keburukan, cepat2 bertaubat.
Terima kasih annur berkongsi.
Ruby dah follow sini #518 :)
Moga moga kita mendapat bantuan Allah dalam memiliki hati yang lembut dan tenang
ReplyDelete