Rawatan Muntah – Perlu Tahu Punca Penyebab Muntah

Muntah adalah keadaan penyingkiran isi kandungan dalam perut melalui mulut secara sengaja atau tidak sengaja.


Muntah bukan sejenis penyakit tetapi ia adalah gejala yang boleh berlaku disebabkan pelbagai jenis penyakit dan keadaan lain. 

Antara sebab-sebab biasa muntah berlaku adalah: 
  • mengandung, 
  • mabuk perjalanan, 
  • masalah dalam telinga,
  • migrain, 
  • kesan sampingan kemoterapi 
  • kesan sampingan ubat-ubat tertentu


 Muntah juga boleh disebabkan oleh keadaan lain seperti kecederaan di bahagian kepala, jangkitan kuman atau virus, keracunan makanan, penyakit berkaitan usus dan sebagainya. 

Selain itu, pesakit perlu cakna dengan komplikasi muntah iaitu dehidrasi atau kekurangan air dalam badan. Tanda-tanda dehidrasi adalah seperti bibir atau mulut kering, kurang kencing, mata cengkung, denyutan jantung laju dan kurang air mata ketika menangis (bagi bayi).

 Dehidrasi yang teruk boleh membawa komplikasi yang berbahaya seperti kegagalan buah pinggang.

Pesakit dinasihati untuk mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital yang berhampiran sekiranya mengalami tanda-tanda bahaya muntah seperti: 
  • muntah berterusan, 
  • muntah disertai demam, 
  • muntah selepas kecederaan di kepala,
  • muntah berdarah / kehijauan,
  • muntah disertai tanda-tanda kekeliruan atau sukar bernafas. 


Pesakit tidak digalakkan untuk merawat sendiri muntah kerana rawatan muntah adalah bergantung kepada puncanya. Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil ubat supaya kesan rawatan yang optimum dicapai.


Rawatan muntah


Terdapat beberapa jenis ubat muntah untuk punca muntah yang berbeza-beza. Berikut ialah contoh-contoh muntah yang kerap berlaku dan rawatan yang sesuai:


Muntah ketika mengandung


Ubat tahan muntah (anti-emetic drug) yang sering digunakan ialah meclozine & pyridoxine atau metoclopramide. Muntah yang berpanjangan ketika hamil juga mungkin perlu dirawat di dalam wad dengan rawatan gantian cecair dan elektrolit.



Muntah disebabkan rawatan kemoterapi


Muntah ialah kesan sampingan yang biasa bagi sesetengah rawatan kemoterapi kanser. Bergantung kepada jenis kemoterapi, terdapat sesetengah pesakit dewasa yang dibekalkan dengan ubat dexamethasone dan metoclopramide untuk mencegah muntah yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi.  



Muntah akibat mabuk perjalanan


Mabuk perjalanan disebabkan oleh kecelaruan otak dalam mentafsir rangsangan daripada mata, telinga dan pergerakan badan akibat perjalanan yang berliku-liku. Untuk mengelakkan situasi ini, ubat muntah perlu diambil sebelum memulakan perjalanan.

Namun begitu, kebanyakan jenis ubat muntah boleh menyebabkan kesan mengantuk dan tidak sesuai untuk diambil oleh individu yang akan memandu kenderaan. 

Walaupun sesetengah ubat muntah boleh dibeli di farmasi tanpa preskripsi, pesakit dinasihati untuk berbincang dengan ahli farmasi berkaitan gejala dan arahan pengambilan ubat tersebut supaya kesan rawatan yang optimum diperoleh.



Muntah di kalangan kanak-kanak


Kebanyakan ubat muntah tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun kerana boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti kesukaran bernafas.

Kanak-kanak yang mengalami muntah hendaklah dirujuk kepada doktor supaya punca muntah dikenal pasti dan rawatan yang sesuai dapat diberikan.


Tip Mengelakkan Muntah


Selain mengambil ubat muntah, langkah-langkah berikut boleh diamalkan untuk mengurangkan rasa loya dan muntah;

-Makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap

-Elakkan mengambil makanan pedas atau berminyak

-Elakkan makanan yang sukar dicerna jika muntah belum reda

-Makan secara perlahan-lahan

-Berehat selepas makan dengan keadaan kepala lebih tinggi daripada perut. 

Kesimpulannya, muntah ialah gejala yang disebabkan oleh pelbagai keadaan dan rawatannya adalah berasaskan punca. Terdapat pelbagai jenis ubat yang boleh digunakan dalam rawatan muntah, namun tidak semuanya sesuai untuk kanak-kanak. Pesakit dinasihati untuk berjumpa dengan doktor apabila mengalami gejala muntah supaya rawatan yang sesuai diberikan berdasarkan punca penyakit.

Moga bermanfaat.

1 comment:

Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y

Full design templates by Eiyza Ezatul. Powered by Blogger.