Rawat Alergik Rhinitis dengan Kaedah Paling Berkesan Dapat Mengelakkan Komplikasi Lebih Teruk


resdung jerawat muka rawatan resdung mujarab

Selalu selesema, bersin dan gatal, terutamanya apabila berada di persekitaran berdebu? 
Jika ya, anda mungkin menghidap rinitis alahan.

Dalam kamus perubatan Latin,  rhino bermaksud hidung manakala itis bermakna keradangan. 

Maka, rinitis alahan dapat disimpulkan sebagai keradangan hidung disebabkan oleh alergen, iaitu bahan yang boleh mencetuskan reaksi alergi. 

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO, sekitar 10-30% penduduk seluruh dunia, atau kira-kira 400 juta orang mengalami rhinitis alahan tanpa mengira umur, etnik dan jantina.

Resdung boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu:
• Bermusim: Gejala bagi resdung jenis ini dialami oleh penduduk negara 4 musim. Boleh berlaku pada musim bunga, musim panas dan awal musim gugur. Ia biasanya disebabkan oleh sensitiviti alergi terhadap spora yang terbang di udara atau debunga dari rumput atau pokok yang berbunga.

• Berpanjangan: Pesakit akan mengalami gejala sepanjang tahun. Ia biasanya disebabkan oleh hama debu, bulu binatang peliharaan atau makanan yang bertindak sebagai alergen.

Penyebab rinitis alahan

Individu dengan sistem imun yang sensitif lebih cenderung untuk mengalami rinitis alahan. Apabila sistem imun didedahkan kepada alergen, ia akan dikesan oleh sejenis antibodi, immunoglobulin E (IgE). Antibodi ini yang akan menyebabkan sel-sel membebaskan bahan–bahan kimia termasuklah histamin.

Histamin

Histamin akan menyebabkan lapisan dalam hidung membengkak dan mengeluarkan lendir yang berlebihan. Ini menyebabkan simptom rinitis alahan seperti hidung berair, tersumbat dan gatal. Kerap bersin, batuk, sakit tekak atau gatal, gatal mata, mata berair, keletihan yang berlebihan, ekzema atau sakit kepala antara simptom lain yang biasa dihadapi.

Komplikasi rinitis alahan

Komplikasi boleh berlaku jika rinitis alahan berlarutan. Antara contoh komplikasi termasuklah penyakit asma bertambah teruk, insomnia, sukar untuk fokus, sinusitis, jangkitan telinga dan polips hidung. Sinusitis ialah keadaan apabila pesakit mengalami sakit pada bahagian pipi, mata atau dahi dengan pernafasan yang berbau, lelehan kekuningan atau kehijauan. Polips hidung pula ialah ketumbuhan lembut pada lapisan hidung yang menyekat peredaran udara melalui hidung dan menyukarkan pernafasan jika ia menjadi besar.

Rawatan untuk rinitis alahan

Terdapat beberapa jenis ubat yang digunakan untuk merawat rinits alahan.

Antihistamin
Antihistamin ubat yang biasa digunakan untuk merawat rinitis alahan kerana kesannya terhadap histamin, bahan kimia badan yang utama apabila tindak balas alergi berlaku. Antihistamin ini boleh diperoleh dalam bentuk tablet, sirup, ubat titis mata dan semburan hidung.

Kortikosteroid
Kortikosteroid turut menjadi pilihan untuk rawatan rinitis alahan. Pada kebiasaannya, kortikosteroid yang digunakan adalah dalam bentuk ubat titis atau semburan hidung. Kortikosteroid mengurangkan keradangan dan bengkak pada hidung. Pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi tentang dos dan tempoh masa rawatan apabila menggunakan kortikosteroid. Tambahan pula, ubat semburan hidung memerlukan teknik khusus untuk digunakan. Penyembur hidung steroid biasanya disyorkan sebagai rawatan jangka masa panjang untuk mengurangkan gejala alergi.

Ubat Semburan Hidung
Ubat semburan hidung yang mengandungi cecair normal saline dapat membantu apabila hidung menjadi kering atau terdapat lendiran hidung yang tebal.

Dekongestan
Masalah hidung tersumbat juga boleh dikurangkan dengan mengambil ubat jenis dekongestan iaitu pelega, sama ada dalam bentuk semburan hidung mahupun ubat tablet. Dekongestan boleh digunakan dalam tempoh yang singkat, biasanya tidak lebih daripada tiga hari, untuk melegakan hidung tersumbat dan tekanan sinus. Penggunaan dekongestan untuk tempoh yang panjang boleh menyebabkan rebound effect, bermakna apabila anda berhenti menggunakan ubat ini, gejala rinitis alahan mungkin akan menjadi lebih teruk.

Cara Mencegah rinitis alahan

Cara yang paling baik untuk mencegah rinitis alahan adalah dengan menghindari alergen yang menyebabkan alahan. Amalkan gaya hidup yang sihat dan dapatkan tidur yang mencukupi untuk mengelakkan simptom menjadi lebih teruk. Rujuk doktor apabila simptom bertambah buruk. 

Berbincanglah dengan doktor sebelum memulakan rejimen bagi sebarang rawatan untuk memastikan anda mengambil ubat yang terbaik untuk gejala anda. Rujuklah ahli farmasi bagi menentukan produk yang sesuai untuk kegunaan jangka masa pendek dan yang dikhususkan untuk rawatan jangka masa panjang.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat - ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

Catat Ulasan

0 Ulasan