Advertisement

KPWKM Tawar Pekerjaan Untuk Bantu Wanita Bangkit Dari Krisis Ekonomi Keluarga




Seperti skuad waja wanita yang hebat, muncul sebuah Karnival Kerjaya Dan Keusahawanan Wanita Bangkit yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Karnival ini telah diadakan pada 27 Ogos 2022  di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi. 


Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.


Fokus utama karnival ini untuk menjana pendapatan kaum wanita dengan menghubungkan mereka kepada platform yang betul untuk menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan atau keusahawanan. 



Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM lahir daripada situasi pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada kehidupan masyarakat. COVID-19 telah menyaksikan banyak pihak terkesan termasuk golongan wanita sendiri. 


Aspek kewangan dan penjanaan pendapatan turut terjejas hingga menyebabkan ramai wanita rasa rendah diri kerana tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.


“Realiti hari ini menunjukkan bahawa kegagalan menguruskan ekonomi menjadi salah satu faktor kegagalan dan keruntuhan institusi rumah tangga. Ia juga menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pengabaian tanggungjawab berkaitan nafkah, pendidikan anak-anak, hutang yang tinggi dan sebagainya.” 


“Isu ekonomi keluarga sebagai satu perkara yang perlu diselesaikan, atau sekurang-kurangnya ditambah baik.” kata Datuk Seri Rina Mohd Harun semasa berucap di majlis tersebut. 


Justeru itu menerusi inisiatif Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM ini dianjurkan di beberapa negeri seluruh Malaysia bagi memberi peluang wanita untuk berdikari sebagai tonggak keluarga dari segi pendapatan hingga boleh menyumbang kepada ekonomi keluarga masing-masing.


Inisiatif Terbahagia Kepada Formal Dan Tidak Formal


Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM yang dianjurkan ini turut dapat membantu wanita dalam mengatasi cabaran pasca pandemik. Inisiatif ini terbahagi kepada dua kaedah; iaitu menerusi sektor formal dan tidak formal. 


Melalui sektor formal pelbagai pameran kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TalentCorp Malaysia dan organisasi penempatan pekerjaan lain.

 

Menerusi Sektor Tidak Formal pula, peserta-peserta dihubungkan kepada pelbagai peluang perniagaan dan keusahawanan daripada Kerajaan seperti Mamacare, program selepas bersalin oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, sektor swasta seperti Maxis (penyedia telekomunikasi) untuk penganjuran e-Kelas Usahawan dan NGO.  



Bantuan Geran MyKasih Kapital Turut Disediakan


Bantuan geran MyKasih Kapital sebanyak RM500 juga disediakan untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil dalam bidang e-dagang dan perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim di Kementerian Keusahawan.


Wanita Bangkit@KPWKM telah berjaya menghubungkan dan memberi peluang pekerjaan kepada 11,055 wanita dalam kedua-dua sektor formal dan informal dan menyediakan 47,000 wanita dengan pengetahuan berterusan khususnya dalam pengurusan kewangan.


Berdasarkan dari pengalaman yang lepas, lebih 15 ribu peluang kerjaya dan usahawan ditawarkan kali ini disamping pelbagai peluang seperti mendapatkan tips dan nasihat dari mereka yang telah berjaya menjadi usahawan. 


Pada karnival tersebut, lebih 30 majikan daripada pelbagai sektor turut dibawa ke karnival dengan kerjasama pihak PERKESO. Lebih kurang 1,000 jawatan kekosongan peringkat eksekutif dan sebanyak 14,000 jawatan kekosongan bukan eksekutif ditawarkan.  



Program Berlangsung Seluruh Negara Mengikut Tarikh Yang Ditetapkan


Jika, sebelum ini program ini telah berlangsung sempena Sambutan Hari Wanita di KLCC, seterusnya di di Alor Setar Kedah bagi Zon Utara, bulan lepas, kini ianya dilansungkan bagi zon tengah. 


Bagi program seterusnya, ia akan menjelajah di lokasi-lokasi lain mengikut zon iaitu bagi Zon Sabah di Suria Sabah Shopping Mall pada 23 hingga 25 September 2022 dan Pusat Dagangan Terengganu bagi Zon Pantai Timur pada 6 hingga 8 Oktober 2022.



Datuk Seri Rina Mohd Harun juga berharap program ini dapat meningkatkan semangat golongan wanita untuk mengikutinya dan peserta yang telah berjaya mampu untuk membimbing wanita yang lain juga. 


Sejujurnya, program latihan seperti ini penting untuk menjadikan wanita, agen perubahan dalam komuniti, melalui usaha perubahan sikap. 


Ayuh para wanita. Bangkitlah untuk ubah nasib diri dan nasib keluarga. Jangan lagi buang masa dengan terus meratap nasib diri. 


Segera bertindak dengan menghadirkan diri ke Karnival Kerjaya Dan Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM, mana tahu diri kalian antara yang terpilih untuk membina kerjaya untuk masa depan yang lebih cerah dan terjamin. 


Catat Ulasan

0 Ulasan