PERANAN SUAMI KETIKA ISTERI SEDANG HAMIL | Berikut antara perkara yang boleh dilakukan oleh suami untuk meringankan bebanan isteri yang sedang hamil.
Luangkan Masa Bersama Isteri
Kadangkala perhatian dan sentuhan daripada suami sudah cukup menenangkan emosi isteri yang serba tidak kena. Bulan-bulan pertama kehamilan memang cukup merimaskan bagi sesetengah bakal ibu. Dengan sentiasa berasa di sisi isteri, ia sudah cukup mengurangkan bebanan yang ditanggung.
Penuhi Keinginan Isteri
Kita sedia maklum, wanita di awal kehamilan biasanya mengidam makan bermacam-macam makanan. Suami janganlah menempelak keinginan isteri sebaiknya cuba penuhi keinginan tersebut. Pastikan juga isteri menjamah makanan yang berkhasiat.
Faham Situasi Isteri
Wanita hamil perlu membawa bebanan perut yang semakin membesar. Justeru, pergerakan mereka menjadi perlahan daripada biasa. Jika keluar bersiar-siar dengan isteri, cuba fahami keadaan tersebut. Janganlah memarahi isteri kerana berjalan perlahan sebaliknya suami perlu mengikut rentak isteri yang berjalan perlahan. Jika isteri hendak ke mana-mana, pinjamkan diri anda seketika. Suami haruslah memahami pergerakan isteri agak terbatas dan elakkan isteri daripada memandu ke destinasi yang jauh. Tidak salah, sesekali suami jadi 'driver' kepada isteri.
Paksa Diri Agar Ringan Tulang
Apa kata suami belajar menjadi ringan tulang dengan kerja-kerja rumah. Apabila melihat kain baju belum berbasuh atau berlipat atau rumah agak bersepah, terus kemaskan ia tanpa perlu membebel atau bertanyakan isterik mengapa tidak mengemasnya.
Belajar Sabar Akan Perubahan Isteri
Wanita hamil akan mengalami perubahan emosi yang sukar dijangka. Marah, merajuk atau terlalu sensitif akan mengiringi mereka sepanjang kehamilan. Suami perlulah bersedia dengan situasi ini.
Siapkan Hidangan Makan
Jika selama ini semua tugas menyiapkan hidangan makan dilakukan oleh isteri, apa salahnya ketika isteri sedang 'mabuk' mengandung, suami pula yang mengambil alih. Legalah sikit isteri yang sedang 'berperang' dengan ketidakselesaan itu.
Bantu Menjaga Anak Lain
Jika isteri hamil anak kedua atau seterusnya, tentu sahaja perhatian kepada anak-anak lain akan berkurangan seketika ekoran alahan yang teruk. Justeru, suami ambillah kesempatan untuk melayani karenah anak. Sekurang-kurangnya anda akan bertambah cekap menguruskan keperluan anak.
Bawa Isteri Bersiar-siar
Sekiranya ada waktu, bawalah isteri keluar menghirup udara segar. Mungkin suasana yang berbeza daripada rumah dapat mengurangkan rasa tidak selesa yang sedang dialami.
Jangan Asyik Berkira
Kadangkala ada isteri yang mengandung suka dimanjakan oleh suami. Bukan mengada-ngada tetapi perubahan hormon yang mendorong perasaan tersebut.
Apa salahnya suami melayani karenah isteri yang sedang hamilkan zuriat anda. Misalnya, buatkan isteri segelas susu sebelum tidur, suapkan makanan ke mulutnya dan sediakan ubat yang perlu dimakan. Tentu kasih sayang anda semakin erat.
Sumber : fb RHKB
Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y