Eh! Produk Makanan Ke Ubat ni?

Eh! Produk Makanan Ke Ubat ni | Trend pengambilan produk makanan kesihatan di Malaysia semakin hari semakin popular dalam sesetengah golongan masyarakat. Lambakan produk makanan kesihatan yang terdapat dalam pasaran telah menyebabkan kekeliruan kepada pengguna kerana pengguna tidak dapat membezakan sama ada produk tersebut adalah produk ubat atau produk makanan. 

Tambahan pula, produk makanan kesihatan juga didapati sering kali membuat tuntutan-tuntutan perubatan yang tidak munasabah dan ini telah menimbulkan persoalanan sama ada produk tersebut selamat diambil.

Menurut Akta Makanan 1983, “makanan” meliputi setiap barang yang dikilang, dijual atau diberi gambaran untuk digunakan sebagai makanan atau minuman. Ini termasuklah roti, susu, gula-gula, minuman kordial, serbuk kopi campuran dan sebagainya. 

Berdasar Akta Jualan Dadah 1952 pula, produk yang digunakan untuk tujuan perubatan ke atas manusia atau haiwan dikelaskan sebagai ubat

Antara contoh tujuan perubatan termasuklah mengurangkan simptom, menyembuh, mencegah penyakit, kontraseptif, mengawal berat badan, mengekalkan atau mengembalikan kualiti kesihatan dan sebagainya. 

Oleh itu, ubat bukan sahaja merujuk kepada ubat yang digunakan di hospital sahaja malah ia juga termasuk ubat tradisional yang mengandungi bahan semula jadi seperti herba dan produk-produk homeopati. 

Sebagai contoh, kapsul yang mengandungi herba kacip fatimah dikelaskan sebagai ubat tradisional dan hanya dibenarkan untuk membuat tuntutan tertentu seperti yang disokong oleh kajian yang sah sahaja. 

Sering terjadinya kekeliruan dalam kalangan pengguna terhadap pengkelasan sesuatu produk makanan apabila pengeluar sesuatu produk mula memasukkan bahan-bahan lain seperti bahan herba atau bahan aktif yang diketahui mempunyai nilai perubatan ke dalam produk tertentu dan membuat tuntutan perubatan berdasarkan kepentingan bahan herba atau bahan aktif tersebut. 

Contohnya, kacip fatimah dicampur dengan kopi yang dikelaskan sebagai makanan. Namun, tiada bukti kukuh yang didokumentasikan untuk menunjukkan nilai perubatan produk campuran ini.   

Masyarakat perlu mengambil maklum bahawa produk makanan adalah di bawah kawalan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) manakala produk ubat pula dikawal oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Kedua-dua bahagian ini adalah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi syarikat yang tidak dapat mengenal pasti kelas produk mereka sama ada adalah ubat atau bukan ubat, mereka boleh mengemukakan permohonan pengkelasan produk kepada NPRA. Pengkelasan produk ini adalah penting terutamanya bagi produk kombinasi kerana ia melibatkan aspek pengawalan di bawah akta dan peraturan yang berbeza. 

Dari segi pendaftaran produk, produk yang dikelaskan sebagai ubat perlu didaftarkan dengan NPRA sebelum dibenarkan untuk dijual dalam pasaran bagi memastikan ia telah dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Bagi produk makanan pula, ia tidak perlu berdaftar dengan KKM, tetapi pihak syarikat harus mematuhi akta dan peraturan yang ditentukan. 

Iklan produk makanan tidak dibenarkan untuk membuat sebarang tuntutan perubatan. Selain itu, iklan produk ubat yang disiarkan melalui mana-mana platform sama ada digital atau pencetakan perlu mendapat kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU). Bagi setiap iklan yang telah dilulus oleh LIU akan diberi nombor KKLIU yang wajib dipamerkan pada setiap iklan yang disiarkan. 

Tip Pengguna Bijak


• Pengguna dinasihati sentiasa berwaspada semasa memilih produk makanan yang mempunyai tuntutan seperti “berkesan menyembuhkan pelbagai penyakit”, “berkesan menurun berat badan dalam tempoh yang singkat” dan sebagainya. Ini kerana produk tersebut dikhuatiri mungkin mengandungi bahan terlarang yang tidak dibenarkan dalam produk makanan.  

• Sekiranya sesuatu produk mempunyai tuntutan perubatan, pengguna boleh menyemak status pendaftaran produk tersebut dengan KKM melalui laman sesawang NPRA (https://www.npra.gov.my) sebelum membelinya. Produk ubat yang tidak berdaftar dengan KKM tidak dapat dijamin keselamatan, kualiti dan keberkesanannya.   

Setiap produk farmaseutikal yang berdaftar dengan KKM mempunyai nombor pendaftaran yang khusus dan label keselamatan hologram. Kedua-dua ciri ini perlu dipaparkan pada bungkusan produk tersebut. 

• Orang awam dinasihati agar sentiasa mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang produk kesihatan termasuk ubat tradisional.

Sekiranya orang awam mendapati sesuatu produk makanan membuat tuntutan perubatan atau disyaki mengandungi bahan terlarang, boleh mengemukakan aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM melalui talian 03-78413200 atau Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di negeri masing-masing atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (SisPAA) KKM secara dalam talian agar tindakan sewajarnya dapat diambil oleh KKM.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).  


Petikan : Akhbar Metro Ahad, 24 November 2019

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Nice entry. Memang penting pengkelasan tu. last year Collagen Shaklee di stop kan kemasukan ke Malaysia sebab, nak tunguu proses pertukaran tu la. Dulu dalam kategori makanan tambahan, sekarang dah jadi kategori makanan ☺️☺️

    BalasPadam

Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y