Ibu, Jangan Ambil Mudah Masalah Kecacingan Pada Anak

Sekiranya anak anda hilang selera makan, mengalami sakit perut, cirit-birit, kembung, pucat atau berat badan berkurangan, anak anda mungkin mengalami masalah kecacingan. Kecacingan atau jangkitan cacing biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan beberapa golongan dewasa yang mempunyai faktor risiko.

cara nak tahu cacing dalam perut


Kebiasaannya, cacing yang menjadi parasit di dalam tubuh manusia adalah seperti cacing gelang, cacing cangkuk, cacing kerawit, cacing benang dan cacing pita. Cacing-cacing tersebut mampu hidup di dalam tubuh manusia dengan mendapatkan nutrien di dalam usus ketika proses penghadaman. 


Bagaimana Jangkitan Cacing Berlaku? 

Jangkitan cacing melalui makanan berlaku apabila makanan seperti sayur dan buah-buahan tidak dibasuh dengan betul menyebabkan telur atau larva cacing yang terdapat pada permukaannya turut ditelan. Selain itu, amalan tidak membasuh tangan sebelum makan turut meningkatkan risiko dijangkiti. 

Bukan itu sahaja, jangkitan cacing juga boleh diperoleh melalui persekitaran jika kulit bersentuhan dengan telur cacing, seperti tabiat gemar berkaki ayam atau bermain di kawasan berpasir.


Komplikasi Kecacingan

Jangkitan cacing yang kronik dapat menyebabkan komplikasi seperti masalah anemia dan kekurangan nutrien. Kanak-kanak yang mengalami masalah kecacingan yang berpanjangan dan tidak dirawat sebaiknya akan mengalami masalah pertumbuhan fizikal akibat bekalan nutrisi yang terganggu. 


Rawatan Jangkitan Cacing

Rawatan awal secara berjadual terbukti dapat mengurangkan komplikasi yang disebabkan oleh jangkitan cacing. Terdapat beberapa jenis ubat dalam pasaran yang boleh digunakan untuk rawatan jangkitan cacing. Ini termasuk sesetengah ubat cacing dalam kategori ubat am yang boleh dibeli di premis farmasi komuniti.

Ubat-ubat ini berbeza dari segi dos dan bilangan hari ubat tersebut perlu diambil. Selain itu, spektrum tindakan setiap ubat terhadap spesis cacing juga berbeza. Ada ubat yang berkesan kepada kebanyakan spesis cacing manakala beberapa ubat lain hanya berkesan untuk merawat masalah kecacingan yang disebabkan oleh satu atau dua spesis cacing sahaja.

Albendazole ialah ubat yang biasa digunakan untuk rawatan jangkitan cacing. Ubat ini terdapat dalam sediaan tablet, tablet boleh kunyah dan ubat minum (suspensi). Antara kesan sampingan yang mungkin berlaku adalah sakit perut, loya, sakit kepala dan pening. 

Secara umumnya, kesan sampingan ubat albendazole adalah ringan dan akan berkurangan dengan sendirinya. Dapatkan nasihat daripada ahli farmasi berkaitan kesesuaian dan arahan penggunaan ubat ini supaya kesan rawatan yang diingini tercapai.

Selain albendazole, ubat lain dalam pasaran yang boleh digunakan untuk merawat jangkitan cacing adalah seperti mebendazole. Pengguna yang mengalami jangkitan cacing yang berulang atau kronik hendaklah mendapatkan pemeriksaan lanjut oleh doktor supaya rawatan yang bersesuaian dan berkesan dapat diberikan. Jangkitan cacing yang serius perlu dirawat dengan segera supaya komplikasi dapat dielakkan.


Nasihat Untuk Ibu Mengandung

Ibu mengandung tidak sesuai untuk mengambil albendazole atau ubat-ubat lain tanpa arahan doktor atau ahli farmasi. Ibu mengandung yang mengalami simptom-simptom kecacingan perlu hadir ke fasiliti kesihatan dan diperiksa oleh doktor sebelum rawatan diberikan. 


Tip Mengelakkan Masalah Kecacingan Terutama Pada Kanak-kanak

Mengutamakan kebersihan di persekitaran dan ketika menjalankan aktiviti harian merupakan langkah utama untuk mengelakkan jangkitan cacing berlaku. Perkara-perkara berikut hendaklah diamalkan oleh pengguna:

a. Basuh tangan dengan sempurna selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.
b. Basuh sayur atau buah-buahan dengan menyeluruh sebelum dimasak atau dimakan mentah.
c. Daging dan ikan perlu dimasak dengan suhu yang betul.
d. Memakai selipar ketika berjalan di halaman rumah yang berpasir.
e. Elakkan menyentuh tanah yang bercampur dengan najis.
f. Sentiasa memakai pakaian dan mengguna cadar serta selimut yang bersih.
g. Buang lampin (diaper) yang mengandungi najis bayi di tempat yang sesuai.

cara basuh tangan elak cacing dalam perut



Jangkitan Cacing Pada Anak Bukan Perkara Remeh

Para ibu bapa perlu membawa anak-anak untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya sekiranya mereka mengalami simptom-simptom kecacingan yang ketara. Sebagai alternatif, anak-anak boleh dibawa ke fasiliti kesihatan bagi pemeriksaan yang lebih menyeluruh. 

Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi agar ubat-ubatan yang sesuai dalam rawatan kecacingan diberikan. Jangkitan cacing tidak seharusnya diambil mudah.

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. terima kasih kongsi info. penting sangat ni ^_^

    BalasPadam
  2. terima kasih di atas perkongsian :)

    BalasPadam

Anything personal, do whisper me via WhatsApp or write an email to annursyuhadah[at]gmail[dot]com <(=^.^=)y