Indahnya Sabar

Sabar Ketika Dilanda Musibah | Semua orang pasti akan melalui saat-saat sukar, diuji dengan pelbagai ujian atau musibah. Awal bulan baruni kita menerima berita sedih dari Palu yang rata-ratanya diuji dengan kehilangan nyawa, keluarga dan tempat tinggal. Segala yang berlaku ini adalah ketentuan dan ketetapan daripada Tuhan, sebagai ujian buat hamba-hambaNya.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali." 
(Al-Baqarah : 155-156).


sobar sod ba ro sabar shabar shobar shad ba ra


Qada’ dan qadar

Peristiwa tsunami yang melanda Palu pasti meninggalkan kesan yang mendalam pada hati-hati kita. Apatah lagi bagi mereka yang menyaksikan dan melalui sendiri fenomena kehebatan dan kekuasaan Allah itu.

Melihat kepada video-video yang sempat dirakam oleh penduduk di sana, situasi ketika itu sangat cemas, penduduk berlari ketakutan untuk menyelamatkan diri sambil bertakbir membesarkan ALLAH dan memohon perlindungan daripadaNya.

Air laut meluncur dengan amat deras menghanyutkan apa sahaja di laluannya. Memusnahkan bangunan-bangunan yang kukuh yang menyebabkan banyak jiwa yang terkorban.

Namun itulah ketentuan dan kehendak daripadaNya, yang mana kita wajib beriman kepada qada’ dan qadar daripada ALLAH . Firman ALLAH SWT:

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); 
( Al-Mulk : 2 ).


Ibrah di sebalik peristiwa

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita yang masih diberikan kesempatan untuk meneruskan kehidupan ini perlu mengambil pengajaran daripada setiap yang berlaku.

Hendaklah meyakini bahawa tidak ada suatu pun yang menimpa kita melainkan telah ditetapkan Allah kepada kita.


Firman ALLAH SWT:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan ALLAH bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada ALLAH jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".
( At-Taubah: 51 )


Peristiwa seperti ini sepatutnya menambahkan lagi keyakinan kita tentang kedatangan hari kiamat.


Di dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang hari kiamat. Hari di mana tidak ada lagi tempat untuk berlindung.

Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu)
(Al-Ghaafir : 59)


Sebagai orang yang beriman, apabila kita ditimpa musibah, maka kita dituntut untuk bersabar dan memohon keampunan daripada Allah disertai dengan usaha memperbaiki lagi amalan kita.


Barang kali musibah yang datang ini adalah berpunca dari kesalahan dan dosa yang kita lakukan. Dan barangkali dengannya juga Allah telah hapuskan dosa-dosa kita.


Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa dan (dalam pada itu) ALLAH memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
( Asy-Syuura :30 )




Beruntunglah Orang-orang Yang Beriman

Orang yang beriman pasti akan diuji oleh Allah. Bukan kerana Allah tak mengetahui keimanan kita, akan tetapi kerana Allah sayangg. Kerana Allah sayanglah, Dia nak mengangkat darjat kita melalui ujian-ujian Nya.

Selain itu, ujian yang turun juga adalah kerana kerana Allah ingin menzahirkan siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang hanya berdusta (munafik).


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui ALLAH tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
( Al-Ankabuut: 2-3 )


Orang beriman dalam apa jua keadaan pasti akan mendapat kebaikan daripada Allah. Ketika kita diuji dengan musibah dan kesusahan lalu kita bersabar.

Dan dengan kesabaran itu, kita diberikan pahala, diampunkan dosa-dosa serta diangkat darjat kita di sisi Allah. Ujian membuatkan kita bertambah dekat kepada Allah.


“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruh urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali hanya pada seorang mukmin. Jika dia mendapatkan kesenangan, maka ia bersyukur. Itu baik baginya. Jika dia mendapatkan kesusahan, maka ia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Riwayat Muslim)

Indahnya Sabar

Sabar adalah asas kepada sifat-sifat mulia yang lain. Dengan sifat ini seseorang itu dapat mentaati Allah, meninggalkan maksiat dan menerima segala takdir semata-mata mengharapkan redha Nya. 

Perkataan sabar mudah diungkapkan,
akan tetapi cukup berat dan sukar untuk dizahirkan.


Lebih-lebih lagi saat kita sedang diuji. Ketika kita kehilangan sesuatu yang sangat kita sayangi, saat kita sedang marah, saat kita sedang sakit, atau saat kita sedang dalam kesusahan yang berat.

Masa tu kalau kita tak ingat akan keluasan rahmat Allah, mesti kita tak mampu untuk bertahan dan bersabar.

Maka, dalam apa jua keadaan, hendaklah kita asuh diri kita supaya tidak meletus dahulu, sebaliknya utamakan pendekatan sabar, semoga kita tidak tersungkur oleh nafsu.

Demikian, moga bermanfaat.

Jumaat 18 Safar 1440H
26 Oktober 2018

1 comment:

Anything personal, do whisper me at annursyuhadah@gmail.com <(=^.^=)y

  1. Darjat org2 yg sabar sememangnya tinggi di 'sana'..

    ReplyDelete
Full design templates by Eiyza Ezatul. Powered by Blogger.